PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM dan sebuah helikopter FENNEC miliknya terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pukul 9.32 pagi tadi.
TLDM dalam kenyataan memaklumkan, insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian..
Kata kenyataan itu, semua mangsa terkoban dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman.
“TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya.
Dalam pada itu, TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan.- UTUSAN










