Asrama, bilik guru madrasah di Jitra terbakar - Utusan Malaysia

Asrama, bilik guru madrasah di Jitra terbakar

KEADAAN asrama penghuni sebuah madrasah yang terbakar pada petang ini di Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA: Bangunan madrasah menempatkan asrama dan bilik guru musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran hari ini.

Kejadian tidak melibatkan mangsa kerana semua penghuni madrasah itu yang terdiri daripada pelajar lelaki berada di surau untuk menunaikan solat Zuhur berjemaah.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.44 petang.

“Jentera dari BBP Jitra dan Bukit Kayu Hitam tiba di lokasi pada pukul 3 petang berjaya mengawal kebakaran tersebut dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela Padang Sera.

“Kebakaran Pusat Maahad Al-Quran Maahad Al Ariffin melibatkan bahagian asrama pelajar dan bilik guru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, tindakan pemadaman satu aliran dua pancutan dari jentera BBP Jitra dan Padang Sera dilakukan untuk mengawal kebakaran.

“Kejadian mengakibatkan 70 peratus bangunan maahad tersebut musnah. Bagaimanapun tiada mangsa terlibat dengan punca kejadian masih dalam siasatan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×