KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelabur antarabangsa menyifatkan ketika ini adalah masa yang tepat untuk melabur di Malaysia.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, ini kerana kestabilan dan tadbir urus yang baik ditunjukkan kepemimpinan Kerajaan Perpaduan.
Malah, kata beliau, keyakinan itu termasuk sifat pro-perdagangan dan pendirian neutral oleh Malaysia.
“Pengumuman hari ini datang daripada pencapaian luar biasa, tahun lepas pelaburan asing yang diluluskan berjumlah RM188 bilion, (yang datang) dari setiap bahagian dunia.
“Pelaburan ini juga telah mencerminkan pergerakan dalam aktiviti rantai nilai lebih tinggi, kerana dunia menunjukkan keyakinan terhadap kemampuan tenaga kerja kita,” katanya ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak KL20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Menurut Anwar, KL20 mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi dan bernilai tinggi dari seluruh dunia sambil mengangkat usahawan tempatan ke peringkat global.
“Kami menyedari semakin pentingnya syarikat pemula dalam memandu kemajuan teknologi dan KL20 ialah landasan yang ideal untuk idea-idea inovatif,” katanya. – UTUSAN









