Hakim tempat kesembilan di Misano

Hakim tempat kesembilan di Misano

HAKIM Danish sebelum perlumbaan satu Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli di Misano, Itali, semalam. - IHSAN ZK RACING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba remaja negara, Muhammad Hakim Danish Ramli mencatat keputusan memberangsangkan apabila melengkapkan aksinya di kedudukan kesembilan dalam penampilan sulungnya pada Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Dunia Misano Marco Simoncelli, Misano, Itali, semalam.

Anak muda berusia 17 tahun itu yang bernaung di bawah pasukan SIC Racing MSi mencatat masa 27 minit 38.871 saat (s) untuk melengkapkan aksinya dalam perlumbaan 1 di Misano yang merupakan saingan pembukaan musim.

Hakim sebenarnya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan, tetapi dia dihukum turun satu anak tangga gara-gara melakukan kesalalahan ‘track limits’ iaitu membuat pecutan di luar kawasan trek ketika pusingan terakhir.

Kesalahan tersebut menyebabkan anak jati Kuala Terengganu itu dipotong tiga saat daripada catatan sebenar masanya 27: 35.671s.

“Pada perlumbaan 1 semuanya berjalan lancar, pada permulaan perlumbaan saya bermula di petak kelapan dan alhamdulillah saya tamatkan saingan di kedudukan kelapan, tetapi saya dikenakan penalti turun satu anak tangga iaitu di kedudukan kesembilan.

“Dalam perlumbaan tadi agak sukar bagi saya dalam kejuaraan ini sebabkan ramai pelumba yang laju bersama saya dekat depan tetapi saya cuba kekalkan kelajuan, dalam perlumbaan tadi pun kami bertarung sengit dan banyak yang saya perlu belajar lagi,” kata Hakim menerusi kiriman video dari Misano.

Perlumbaan tersebut dimenangi oleh pelumba Sepanyol, Jesus Rios yang mencatat masa terpantas 27: 34.981s, manakala, Alejandro Morosi dari Itali muncul selaku naib juara (27:35.003s) dan tempat ketiga menjadi milik seorang lagi penunggang Sepanyol, Marcos Uriarte (27:35.206s).

Seorang lagi pelumba Malaysia, Danial Syahmi Ahmad Shahril yang mewakili pasukan Junior Talent Team gagal menamatkan perlumbaan selepas dia terjatuh ketika saingan berada di pusingan ke-10.

Danial yang kini memasuki musim ketiga pada penyertaannya dalam JuniorGP perlu segera memperbaiki prestasinya jika berhajat untuk melangkah lebih jauh dalam perlumbaan di pentas antarabangsa.

Pelumba berusia 22 tahun itu berkata, disebabkan terlalu berhati-hati pada awal perlumbaan, dia telah dipintas pelumba-pelumba lain.

“Sewaktu pusingan kelapan saya melakukan kesilapan apabila saya menekan brek belakang motosikal menyebabkan saya ketinggalan dan cuba kejar pelumba di hadapan saya, tetapi, malangnya saya hilang kawalan lalu terjatuh dan menyebabkan bahagian punggung saya terluka sikit,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×