Tajuddin tiada hasrat tanding wakil rakyat - Utusan Malaysia

Tajuddin tiada hasrat tanding wakil rakyat

TAJUDDIN Abdul Rahman menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak berhasrat untuk bertanding jawatan wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang serta jawatan dalam UMNO.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu menegaskan, perebutan jawatan bukanlah sasarannya kini sebaliknya beliau mahu membantu memperkuatkan parti untuk kembali bangkit dan menebus kekalahan lalu.

“Saya tak ada nak bertanding apa-apa jawatan, saya dah merasa menjadi wakil rakyat, pengerusi GLC (syarikat milik kerajaan) dan timbalan menteri. Cukuplah, apa lagi yang saya nak.

“Tapi, itu bukanlah bermakna saya bersara dalam politik. Saya akan tetap teruskan perjuangan membela parti untuk bangkit semula selagi hayat di kandung badan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah di sini hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu, beliau yakin UMNO mampu bangkit semula menjadi parti politik perjuangan orang Melayu sekiranya menemui ‘ubat’ yang mampu menyembuhkannya.

Katanya, UMNO kini ‘sakit’ dan sehingga kini masih gagal menemui rawatan bagi memulihkannya selepas kekalahan teruk pada pilihan raya umum lalu.

“Kalau esok pilihan raya, kita (UMNO) akan kalah, tetapi sekarang kita masih ada masa untuk buat kerja memperkukuhkan dan memperkuatkan kerja bagi memastikan UMNO mampu bangkit dengan tindakan yang tepat.

“UMNO di dalam keadaan sekarang ini sakit, tenat dan orang yang sakit kena dapatkan ubat serta pakar yang pandai dalam mencari ubat mujarab supaya ia kembali sihat,” katanya.

Dalam perkembangan sama Tajuddin berkata, beliau sama sekali tidak menyalahkan UMNO dengan apa yang terjadi dalam perjalanan karier politiknya dan menyifatkan ia bukan kesalahan parti.

“Apa yang berlaku pada diri saya bukan kerana parti dan bukan kesalahan parti. Yang buat salah adalah orang tertentu, jadi kenapa parti pula yang dihukum.

“Kita perlu tahu bezakan antara parti dengan individu. Kalau hari ini, orang itu ada di situ, esok lusa dia dah tiada. Jadi, kalau kita buang parti, habislah sedangkan kita mahu parti bangkit semula,” ujar beliau. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×