Piala Thomas: Malaysia wajib kalahkan Hong Kong

Piala Thomas: Malaysia wajib kalahkan Hong Kong

AARON Chia-Soh Wooi Yik menumbangkan rakan senegara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-13, 21-19 pada perlawanan pusingan kedua China Masters 2024 di Arena Shenzen, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad badminton negara wajib menumpaskan Hong Kong dalam aksi pertama kempen Piala Thomas yang akan berlangsung di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei.

Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia berkata peluang untuk melangkah ke suku akhir Piala Thomas lebih cerah sekiranya kemenangan dicatat ke atas Hong Kong bagi aksi pertama Kumpulan D.

“Perlawanan pertama penting buat pasukan kerana ia boleh menjadi penentu sama ada kita mara ke kelompok lapan pasukan terakhir atau tidak.

“Peluang menentang Hong Kong bagi acara perseorangan 50-50 bagaimanapun kita ada kelebihan bagi acara beregu,” kata Aaron.

Aaron bergandingan bersama Soh Wooi Yik turut menyifatkan kemenangan ke atas Hong Kong akan menaikkan motivasi pemain untuk bertemu dengan pasukan pilihan, Denmark.

“Kita lihat, Denmark kuat bagi acara perseorangan dan beregu mereka juga tidak kurang hebatnya. Atas kertas kita pasukan bukan pilihan tetapi kita pasti buat yang terbaik untuk menghuni tangga teratas kumpulan,” katanya lagi.

Piala Thomas merupakan kejohanan yang masih belum dimenangi Aaron lantas membuatkan pemain itu tekad memburu pingat tanpa menetapkan warna untuk dijadikan koleksi peribadinya.

“Piala Thomas adalah kejohanan utama berpasukan seperti Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA. Saya tidak pernah memenangi Piala Thomas dan semestinya saya mahu mendapatkan pingat tanpa mengira warna,” katanya lagi.

Aaron-Wooi Yik sudah memenangi pingat dalam semua kejohanan utama yang lain termasuk emas Kejohanan Dunia 2022, gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, emas berpasukan dan gangsa individu Sukan Komanwel Birmingham 2022, gangsa individu Sukan Asia Hangzhou 2022 dan emas individu dan perak berpasukan Sukan SEA 2019.

Mereka turut membantu Malaysia muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia pada 2022 selain perak pada edisi 2020 dan 2024.-UTUSAN

KAPSYEN: PASANGAN beregu utama negara, Aaronn Chia dan Soh Wooi Yik akan mengetuai kempen Malaysia dalam saingan Piala Thomas di Chengdu, China, dari 28 April hingga 5 Mei depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×