TINGGAL beberapa minggu lagi, tibalah musim haji. Mengerjakan ibadah rukun Islam kelima dan menjadi tetamu Allah SWT itu ‘mahal’ harganya.
Bukan semua orang berpeluang meraih gelaran ‘dhuyufurrahman’ walaupun mempunyai kecukupan daripada segala segi termasuk kewangan. Selalunya apabila dapat melihat ada individu pergi menunaikan haji, rasa keinginan yang teramat sangat pasti timbul bagi setiap umat Islam. Apatah lagi untuk mereka yang sudah berumur.
Namun, pemergian ke Tanah Suci Mekah untuk mengerjakan haji dibuat berlandaskan konsep istito’ah iaitu syarat berkemampuan dalam segala aspek termasuk kesihatan- bukan hanya sekadar sampai seru semata.
Apa yang membimbangkan terdapat segelintir umat Islam masih tidak memahami konsep istito’ah bagi mengerjakan ibadah haji.
Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, ia membawa pengertian meluas yang merujuk kepada kemampuan mengerjakan haji daripada segi kewangan, bekalan, dan perjalanan yang aman.

“Istito’ah membawa kepada pengertian bekalan mencukupi menuju ke tanah suci sehingga pulang di samping ada bekalan mencukupi bagi keluarga di bawah tanggungannya di tanah air.
“Selain itu, istito’ah untuk menunaikan haji turut merujuk kepada beberapa faktor penting termasuk mahram, kesihatan, kuota atau kebenaran haji dari kerajaan Arab Saudi dan keselamatan,”katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Mujahid, kuota atau kebenaran mengerjakan haji dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam istito’ah bagi menghormati polisi sesebuah negara kerana asas dipegang dan dilaksanakan mereka.
“Sekali pun kita bertubuh sihat, duit mencukupi bahkan melebihi serta memenuhi semua syarat, seseorang jemaah itu tidak dianggap istito’ah, bahkan perlu menunggu hingga giliran sampai barulah dikira istito’ah,” jelasnya.
Justeru katanya, meraikan dan mematuhi isu mengenai kuota haji atau kebenaran haji yang dipanggil tashrih atau kebenaran melaksanakan ibadat haji adalah perkara yang juga termasuk dalam istito’ah haji.
Penjelasan itu katanya bermaksud tugas Tabung Haji bukan sekadar institusi Islam yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah Haji.
“Tabung Haji membabitkan pengurusan simpanan yang halal dan pengurusan haji yang efisien termasuk memberi nilai tambah kepada para pendeposit,”jelasnya.
Untuk rekod, kos haji kini mencecah RM33,300, namun bakal jemaah haji perlu melakukan simpanan kewangan untuk membiayai bayaran haji yang berbeza mengikut kategori kumpulan iaitu T20 (RM33,300), M40 (RM19,152) dan B40 (RM12,356) secara tidak langsung memperlihatkan tabung perlu bermula sejak awal sebagai persediaan khususnya dalam kalangan belia.
Tambah Mujahid Yusof, bakal para jemaah haji perlu memahami keberangkatan menjejak kaki di Tanah Suci Mekah mahupun Madinah bukanlah ‘satu percutian’ panjang. Ia adalah kesempatan terbaik untuk mereka ‘dilahirkan semula’ sebagai hamba-Nya yang bertakwa.
“Jika selama ini ada antara mereka hanya mendengar kisah mengenai kehebatan kota Mekah dan Madinah, merenung gambar-gambar yang memaparkan suasana di Baitullah dan orang bertawaf mengelilingi Kaabah.
Allah menjemput mereka sebagai tetamu-Nya untuk menikmati sendiri semua itu melalui pelaksanaan ibadah haji. Oleh itu, adalah perlu mereka menghayati dengan sebenar-benarnya hikmah di sebalik ibadah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, seorang bakal jemaah, Shadiah Aziz berkata, amalan menabung dalam Tabung Haji perlu diamalkan sejak muda lagi demi mencapai cita-cita ke Tanah Suci.
Katanya, simpanan itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan untuk menampung kos haji tetapi sebagai simpanan kecemasan pada masa tua.
“Adalah wajar memulakan tabungan haji dan mendaftar haji awal sebab nak tunggu giliran panggilan haji sangat lama.
“Justeru ibu bapa kena galakkan anak-anak buat tabungan awal untuk memudahkan mereka kekalak,”jelasnya.- UTUSAN










