SEREMBAN: Kira-kira 40,000 tetamu hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan di kampung halaman beliau di Kampung Tanjung, Rantau di sini hari ini.
Majlis yang bermula jam pukul 9 pagi dan dijadual berakhir 5 petang itu dihadiri masyarakat pelbagai kaum termasuk orang kenamaan seperti Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mohamad yang merupakan Ahli Parlimen Rembau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau ketika ditemui pemberita menyatakan terima kasih kepada semua yang hadir ke majlis tersebut.
“Saya bersyukur ramai yang hadir, terima kasih juga sanak saudara, rakan-rakan dan orang kampung yang datang membantu menjayakan jamuan hari raya ini.
“Semuanya kami masak bersama-sama secara rewang yang menjadi amalan kami di kampung sejak Selasa lalu. Menunya hari ini memang istimewa, selain rendang, nasi minyak, pajeri nanas dan ada juga gulai tulang,” katanya kepada pemberita.
Majlis juga dimeriahkan dengan persembahan dua kumpulan muzik yang mendendangkan pelbagai lagu raya.-UTUSAN.










