KOTA KINABALU: “BN telah menyatakan sebagai gabungan (kerajaan Perpaduan), mereka akan bersama calon kerajaan Perpaduan,”.
Demikian kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil mengenai kenyataan MCA yang memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, Selangor.
Biarpun MCA membuat keputusan sebegitu namun, sebagai parti yang berada dalam kerajaan Perpaduan, mereka akan bekerjasama dengan semua komponan parti.
“Bagi Keadilan, kita akan bekerjasama dengan semua parti komponen,” katanya.
Semalam, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang akan diadakan pada 11 Mei depan.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk dilaporkan berkata, parti-parti dalam kerajaan perpaduan mempunyai kaedah mereka untuk memastikan kemenangan dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada bulan depan.
Pada Mac lalu, Ahmad Zahid menyatakan BN akan memberi laluan kepada calon DAP untuk bertanding pada PRN Kuala Kubu Baharu dengan mengambil kira ia adalah parti penyandangnya. – UTUSAN










