20 tahun menghilang, ayah muncul di petang Syawal

20 tahun menghilang, ayah muncul di petang Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP orang mempunyai kisah dan pengalaman Syawal yang tersendiri.

Syawal dikaitkan dengan kegembiraan sebagai tanda meraikan kemenangan sekaligus mengukuhkan lagi makna sebenar perayaan itu sendiri tentang kasih-sayang dan kemaafan.

Minggu ini saya kongsikan kisah, Bella (bukan nama sebenar) yang cukup meruntun hati.

Kehilangan insan dicintai di pagi Syawal lalu cukup membuatkan dunianya terasa runtuh penuh keputus-asaan.

Saat dikhabarkan ibunya sudah pergi selama-lamanya, ada lubang yang mengganga dalam hati.

Memulakan perbualan dalam pertemuan dengan saya pada Syawal ketiga lalu, setiap apa yang diungkap cukup saya fahami kerana saya juga pernah kehilangan sosok tubuh itu.

Menurut Bella, sehingga ke hari ini, dia masih terkejut dengan kehilangan ibu yang meninggalkannya dengan 1,000 kenangan indah.

Malah dia turut menerima kejutan berganda apabila bapa yang sekian lama menghilang kembali ke pangkuan keluarga .

“Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika apabila lelaki yang mengakui bapa kandung muncul tiba-tiba sebaik usai upacara pengebumian ibu,” katanya sebak.

Menurut Bella, sehingga ke hari ini, dia masih belum benar-benar menerima kehadiran lelaki itu dalam hidupnya.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan diri yang masih bersedih . Akui Bella, perasaannya masih bercampur baur. Sedih, terharu dan marah.

Mengimbas kenangan lalu, kata Bella, sejak kecil dia tidak pernah sekalipun merasakan manisnya menyambut Aidilfitri bersama bapa kandung yang menghilang tanpa khabar sejak dua dekad lalu.

Tambah menyedihkan, apabila dia tiada walau sekeping gambar bapanya yang boleh ditatap melepas rindu.

Seperti tahun-tahun sebelum, Bella terus menyimpan 1,000 harapan agar akhirnya dapat memeluk erat sosok tubuh bapa kandung yang amat dirindui.

Dia dilahirkan tanpa latar belakang yang jelas. Dia tidak pernah mengenali bapa kandung sendiri membuatkan dia pernah berada di titik terendah dalam hidup .

Namun ibunya sering menyuntik kata-kata semangat untuk memastikan dia juga berhak ada kehidupan yang baik.

Berkongsi kisah hidupnya, kata Bella, dia dilahirkan di Hospital Gua musang dan ‘cerita ‘ hidupnya bermula selepas ditinggalkan bapa kandung sejak dalam kandungan lagi.

“Saya dijaga ibu, nenek dan datuk sebelah ayah sejak kecil. Ketika berusia hampir lapan tahun saya pernah bertanyakan kepada ibu tentang ayah, namun ibu sering mengelak setiap kali soalan diajukan.

“Berbeza dengan datuk, yang menyatakan bapa masih hidup. Namun keberadaan dan punca ayah tiada bersama tidak dijelaskan,” kata Bella.

Bertahun lamanya, Bella tetap mahu mengetahui siapa bapa kandungnya.

Sehinggalah pada usianya 17 tahun, datuk membuka cerita, bahawa selama ini bapa meninggalkan ibu yang ketika itu sarat mengandungkannya selepas berkahwin lagi.

Berdasarkan cerita datuk lagi, mereka sudah kehabisan ikhtiar untuk mengesan bapa.

Kata Bella, selepas mengetahui cerita sebenar, dia tidak lagi bertanya kepada ibu, nenek mahupun datuknya.

Semakin menginjak usia, dia tidak lagi mahu terlalu memikirkan siapa bapa kandungnya.

Apa yang lebih penting ialah dia dan ibu boleh hidup berdikari dan menjalani kehidupan yang lebih baik tanpa kehadiran bapa.

Sejak Bella menjalani kehidupan sibuk sebagai penuntut di salah sebuah universiti di utara tanahair,  ingatan terhadap bapa kandungnya semakin memudar.

“Kehidupan kampus menjadikan saya lebih matang dan mulai cuba memahami kehidupan orang dewasa. Saya cuba untuk menyelami
kehidupan yang selama ini dilalui ibu, nenek dan datuk.

“Pasti ia bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang yang bergelar isteri mahupun ibu bapa menerima perbuatan ayah,” kata Bella.

Seperkara yang turut dikongsikan Bella tentang ‘syurga’nya itu tentang sifat baik yang ada pada dirinya.

Kata Bella, sepanjang tempoh membesarkannya, ibu tidak pernah bercerita buruk tentang lelaki itu.

Bagaimanapun menurut datuk, dalam diam ibu sebenarnya sangat-sangat terluka dengan perbuatan ayah.

“Selepas melahirkan saya, ibu pernah kemurungan. Apa yang ayah lakukan kepada ibu cukup menyakitkan apatah lagi meninggalkannya ketika dalam keadaan sarat mengandung.

Setelah saya dilahirkan, dialah ibu, dia jugalah ayah. Kehadiran nenek dan datuk juga melengkapkan lagi kehidupan kami,” kata Bella.

Biarpun hidup alam keadaan serba kekurangan tanpa dikelilingi kemewahan, Bella mengakui bahagia.

“Sejak kecil ibu cuba membahagiakan saya. Apa yang kanak-kanak lain ada, ibu cuba memenuhinya, kecuali seorang lelaki bergelar bapa.

“Saya membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Namun saya bersyukur kerana masih ada datuk yang menemani,” katanya.

Menyambung cerita, kata Bella menurut cerita datuk, sejak bapanya lesap dalam hidup mereka, pelbagai usaha dilakukan ibu, nenek dan datuk untuk mengesannya.

Namun tiada sebarang petunjuk keberadaan bapanya itu, sehinggalah pada petang Syawal lalu, selepas dua dekad lelaki itu muncul.

Kemunculan lelaki bertubuh tinggi lampai dalam usia pertengahan 50 an itu disaat ketika dia dalam kesedihan dengan kehilangan ibu tercinta.

“Saya tidak pasti bagaimana perasaan saya ketika dan saat ini.

“Buat masa ini, saya minta nenek dan datuk memberi ruang dan masa untuk saya bertenang sebelum benar-benar menerima lelaki itu dalam hidup setelah kehilangan ibu,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.

Sesungguhnya Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar perayaan yang meraikan tamatnya bulan Ramadan, sebaliknya menunjukkan kemenangan
melalui kunjungan, menziarahi keluarga bahkan medan bermaaf-maafan.

Sebagaimana firman Allah SWT: Orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Oleh itu, damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua-dua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu memperoleh rahmat. (Al-Hujurat:10)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×