Usahawan tudung rugi RM5,000, rumah dipecah masuk pencuri

Usahawan tudung rugi RM5,000, rumah dipecah masuk pencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Seorang usahawan tudung kerugian kira-kira RM5,000 selepas rumahnya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau di sini, dipecah masuk pencuri, kelmarin.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, pihaknya menerima laporan kes pecah rumah daripada mangsa kira-kira pukul 9.30 malam dan polis sedang giat memburu suspek.

 

Menurutnya, kejadian itu disedari selepas mangsa mendapati tingkap di bahagian pintu belakang rumahnya telah terbuka dan terdapat kesan umpil pada bahagian tingkap tersebut.

 

“Hasil pemeriksaan mendapati, suspek melarikan wang tunai dianggarkan bernilai RM1,000 bersama dua bentuk cincin emas, satu ketul emas seberat 1 gram, sebuah jam tangan jenama Guess dan satu anak kunci rumah. Anggaran kerugian lebih kurang RM5,000,” ujarnya.

 

Kejadian pukul 9.30 malam itu disedari mangsa, Mohamad Izat Mustaffa,32, sejurus pulang dari pejabatnya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah berkenaan.

 

Mohamad Izat berkata, sebelum kejadian, dia bersama isteri dan anak-anak keluar rumah kira-kira pukul 8.30 malam untuk ke pejabat bagi menyelesaikan beberapa urusan.

 

“Bagaimanapun sebaik tiba di rumah kira-kira pukul 9.30 malam, saya terkedu apabila melihat keadaan rumah yang berselerak serta pintu bilik terbuka.

 

“Pada masa sama, saya terdengar bunyi yang mencurigakan sebelum bertindak membawa anak-anak keluar dan meminta pertolongan daripada bapa saudara di sebelah rumah,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

 

Mohamad Izat memberitahu, selepas memeriksa bahagian rumah bersama bapa saudaranya dia mendapati suspek sudah melarikan diri.

 

“Suspek dipercayai masuk melalui bilik tidur berdasarkan kesan umpilan selain hanya kawasan itu sahaja tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

 

“Malah, pemeriksaan di kawasan semak di sebelah rumah saya juga mendapati terdapat kesan dan dipercayai milik suspek,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×