PUTRAJAYA: Pengarah filem kontroversi Mentega Terbang, Mohd. Khairianwar Jailani kekal dilarang mengeluarkan kenyataan berkaitan pertuduhan jenayah yang dihadapinya selepas permohonan bagi mendapat kebenaran merayu ditolak oleh Mahkamah Rayuan hari ini.
Mohd. Khairianwar, 32, yang juga penulis skrip didakwa awal tahun ini atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.
Berikutan itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 24 Januari lalu yang mengekalkan perintah larangan bersuara terhadap pengarah berkenaan sehingga kes itu selesai, tidak berubah.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak permohonan Mohd. Khairianwar untuk mendapat kebenaran merayu selepas berpuas hati permohonan itu tiada merit.
Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin berpendapat, tiga persoalan undang-undang yang dikemukakan merupakan persoalan yang pernah dibangkitkan dan diputuskan sebelum ini.
“Pemohon gagal menunjukkan majistret dan hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika menggunakan budi bicara sewaktu membenarkan perintah larangan bersuara dikenakan terhadapnya.
“Mahkamah juga berpuas hati larangan itu terletak di bawah budi bicara majistret berkenaan manakala perintah itu hanya melibatkan kes yang sedang dihadapinya,” ujar Hakim Ahmad Zaidi ketika membacakan keputusan tersebut.
Mohd. Khairianwar memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakannya untuk mengetepikan perintah larangan bersuara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret pada 17 Januari lalu.
Hakim K. Muniandy mengekalkan larangan itu selepas mengambil kira sifat pertuduhan yang dihadapinya selain bagi memelihara kepentingan perbicaraan yang akan didengar kelak.
Terdahulu, peguam Zaid Malek berhujah, antara persoalan undang-undang yang dikemukakan ialah sama ada Mahkamah Majistret boleh mengeluarkan perintah larangan bersuara tanpa disertakan dokumen sokongan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah berhujah, ketiga-tiga persoalan undang-undang yang dibangkitkan bukan isu baharu yang mewajarkan mahkamah membenarkan permohonan kebenaran merayu.
Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan penerbit filem tersebut, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.
Filem yang diharamkan tahun lalu itu mengisahkan tentang Aishah berusia 15 tahun, yang berminat mempelajari konsep kelahiran semula dalam agama lain selepas kematian ibunya.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di Kuala Lumpur pukul 12.34 tengahari pada 26 Februari 2023.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-UTUSAN







