Petronas Lubricants, Mercedes-Benz tingkat kemajuan selepas jualan - Utusan Malaysia

Petronas Lubricants, Mercedes-Benz tingkat kemajuan selepas jualan

HEZLINN (kiri, duduk) bersama-sama Ahli Lembaga Pengurusan Jualan & Pemasaran Mercedes-Benz Group AG Idris, Britta Seeger bergambar sempena pemeteraian kerjasama di Stuttgart, Jerman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Lubricants International dan Mercedes-Benz Global Customer Service & Parts bekerjasama untuk membangunkan penyelesaian teknikal yang mengoptimumkan prestasi dan kecekapan kenderaan bagi memacu kemajuan dalam sektor selepas jualan automotif.

Kedua-dua syarikat global itu akan memanfaatkan penggunaan strategi pendigitalan, pendekatan pasaran yang disesuaikan, kerjasama global yang mantap serta inisiatif yang bertujuan untuk mencapai neutraliti karbon untuk meningkatkan nilai kepada pelanggan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Lubricants International, Hezlinn Idris berkata, memanfaatkan pengalamannya dalam pembangunan Penyelesaian Teknologi Bendalir, syarikat akan terus menyampaikan penyelesaian inovatif.

Katanya, ini bagi menyampaikan teknologi enjin termaju dan memenuhi keperluan pemanduan prestasi tinggi pelanggannya termasuk meningkatkan kecekapan bahan api, prestasi enjin dan keselamatan.

“Bersama-sama dengan Mercedes-Benz Global Customer Service & Parts, kami mengembangkan jangkauan global kami, menjadikan penyelesaian kami lebih mudah diakses oleh dunia sambil mengutamakan nilai pelanggan sebagai teras tawaran kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perniagaan Perkhidmatan & Alat Ganti dan Waranti & Muhibah Mercedes-Benz Cars of Mercedes-Benz Group AG, Andreas Jörg berkata, keutamaan syarikat adalah untuk memberikan kepuasan tahap tertinggi kepada pelanggan.

Katanya, syarikat benar-benar menjaga kenderaan pelanggan dengan menawarkan produk berprestasi tinggi, inovatif dan mampan untuk kenderaan mereka.

“Perkongsian strategik kami dengan Petronas Lubricants International ialah peluang menarik untuk meningkatkan lagi komitmen kepada pelanggan kami dengan bekerjasama dalam teknologi inovatif yang akan membentuk masa depan mobiliti dan pengalaman pelanggan,” ujarnya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, kedua-dua syarikat juga akan meneroka jalan untuk inisiatif pemasaran bersama, program pendidikan dan kempen jangkauan awam yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyelesaian mobiliti mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×