Lelaki terjun sungai ditemukan mati lemas - Utusan Malaysia

Lelaki terjun sungai ditemukan mati lemas

PASUKAN penyelamat membawa naik mayat lelaki yang mati lemas selepas dipercayai terjun ke dalam Sungai Perak, Dataran JPS di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki yang dilaporkan terjun ke dalam Sungai Perak di Dataran JPS, Jalan Bandar dekat sini semalam, ditemukan lemas hari ini.

Mayat lelaki berusia 50-an itu dijumpai pasukan penyelamat di tebing seberang Pulau Bangau pada jarak lima kilometer dari lokasi dia dipercayai terjun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd. Ismail Mohd. Yunus berkata, maklumat kejadian itu diterima pihaknya pada 2.20 petang, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, sepasukan anggota termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) BBP Teluk Intan digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kita menerima maklumat dari pihak polis bahawa terdapat seorang mangsa lelaki berumur 50-an dipercayai membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai.

“Berikutan itu, komander operasi segera melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian sebelum mengarahkan anggota membuat pencarian di permukaan sungai dengan menggunakan dua buah bot penyelamat.

“Jarak pencarian mangsa yang dijalankan semalam dalam lingkungan dua kilometer,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi yang disambung hari ini berjaya menemukan mangsa apabila mayatnya ditemukan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan pada pukul 7.55 pagi.

Katanya, operasi mengambil mayat mangsa menggunakan dua buah bot dan dibawa ke Jeti Pokok Asam untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Operasi SAR yang tamat pada pukul 9 pagi itu disertai 20 anggota bomba selain pasukan polis seramai lima orang dan tiga anggota PBS Teluk Intan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini