IPOH: Tarif baharu air bagi penggunaan kategori domestik di Perak dinaikkan lima sen kepada 75 sen setiap meter padu berkuatkuasa 1 Mei ini berbanding 70 sen ketika ini.
Menurut Pejabat Menteri Besar Perak, kenaikan itu adalah melibatkan penggunaan sehingga 20 meter padu sebulan manakala caj bagi penggunaan 21 hingga 35 meter padu ditetapkan pada kadar RM1.08, berbanding RM1.03 sebelum ini.
Pada masa sama, bagi mengurangkan kesan perubahan tarif kepada pengguna domestik, Lembaga Air Perak (LAP) memberikan rebat pada kadar 40 sen setiap meter padu bagi penggunaan sehingga 10 meter padu pertama sebulan, iaitu bersamaan RM4.00 sebulan.
Dengan rebat berkenaan, kadar purata tarif bagi penggunaan sehingga 20 meter padu dapat dikurangkan kepada hanya 55 sen bagi setiap meter padu berbanding 75 sen sekiranya tanpa rebat.
“Dengan kenaikan lima sen, penetapan kadar tarif air baharu air di Perak adalah jauh lebih rendah berbanding kadar purata 22 sen yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Caj minimum bagi penggunaan domestik pula adalah RM7.50 sebelum mengambil kira pemberian rebat. Setelah mengambil kira rebat, caj minimum adalah RM3.50 berbanding kadar sekarang iaitu RM3.00,” menurut Pejabat Menteri Besar Perak hari ini.
Beberapa negeri sebelum ini mengumumkan kadar baharu tarif air susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang meluluskan Perlaksanaan Pelarasan Kadar Bekalan Air untuk kategori domestik dan Pengenaan Caj Elektrik berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.
Antara negeri yang sudah mengumumkan tarif baharu bagi penggunaan domestik termasuklah Terengganu dan Melaka dengan kenaikan 16 sen setiap meter padu, Selangor (50 sen), Kelantan (23 sen), Johor (25 sen), Negeri Sembilan (16 hingga 24 sen) dan Pulau Pinang (28 sen).
Jelas pejabat menteri besar lagi, penetapan tarif baharu berkenaan bagaimanapun tidak menjejaskan program air percuma 25 meter padu sebulan untuk golongan sasar dan program air percuma 20 meter padu untuk rumah ibadat.
Tambahnya, untuk pengguna bukan domestik pula, kenaikan adalah RM0.05 bagi setiap meter padu penggunaan.
“Penetapan baharu tarif air itu adalah yang pertama selepas 18 tahun apabila kali terakhir pindaan dilakukan pada tahun 2006.
“Pun begitu, Kerajaan Negeri telah memutuskan supaya LAP memanfaatkan sebaiknya penetapan tarif baharu itu untuk meningkatkan kualiti perkhidmatannya termasuk menggantikan paip-paip lama dan menambah baik aspek penyelenggaraan.
“LAP memerlukan dana mencukupi bagi membiayai program-program penambahbaikan termasuk membina loji-loji rawatan air khususnya di kawasan-kawasan pembangunan baharu,” jelas pejabat itu.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yakin tarif baharu itu boleh diterima rakyat kerana kadar kenaikan adalah munasabah.
“Jadi kita perlukan sedikit tambahan wang untuk membolehkan LAP menggantikan paip baharu, membaik pulih paip lama dan pelbagai sistem baharu termasuk meter dan sebagainya.
“Jadi perlukan pertambahan kos. Kalau pun kenaikan itu bukan keuntungan untuk LAP, ia akan dipulangkan semula dalam bentuk perkhidmatan kepada pengguna,” katanya. – UTUSAN











