Sarawak bina sekolah sendiri, mampu jimatkan kos - Utusan Malaysia

Sarawak bina sekolah sendiri, mampu jimatkan kos

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIBU: Dasar baharu Sarawak untuk mempercepatkan pembaikan sekolah dan klinik yang usang menggunakan dana kerajaan negeri, dengan pembayaran balik kemudian daripada kerajaan persekutuan, berpotensi mengurangkan perbelanjaan pembinaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, berkata ini dibuktikan di tujuh sekolah yang dibina kerajaan negeri di seluruh Sarawak termasuk sekolah di Daro, Ulu Sengan, dan Meludam, manakala empat lagi masih dalam pembinaan.

Menurut Annuar, aspek yang paling penting ialah kos pembinaan sekolah-sekolah berkenaan lebih rendah berbanding pembinaan yang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu kerajaan persekutuan bersetuju menggunakan pendekatan kerajaan negeri kerana ia menjimatkan kos dan mempercepatkan proses pembinaan.

“Sebelum ini, beberapa sekolah memerlukan sehingga RM60 juta (untuk pembinaan) sebuah sekolah rendah, tetapi sekolah yang dibina kerajaan Sarawak di Ulu Sengan menelan belanja tidak sampai RM40 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat dua rumah ketua masyarakat di kawasan Kemuyang di sini malam tadi.

Ketika ditanya faktor di sebalik pengurangan kos pembinaan yang ketara, Dr. Annuar berkata salah satu faktornya ialah kerja-kerja reka bentuknya.

“Sebenarnya sekolah-sekolah ini tidak memerlukan banyak hiasan mewah atau reka bentuk yang rumit.

“Ia hanya perlu berfungsi sebagai sekolah, tahan lama dan memerlukan penyelenggaraan yang minimum. Itu yang paling penting,” katanya.

Dr Annuar juga berkata memandangkan kerajaan negeri Sarawak dapat mengenal pasti sekolah yang memerlukan pembaikan dengan cepat, dasar itu nampaknya lebih berfaedah.

“Prosedur itu melibatkan kerajaan negeri meluluskan tanah atau tapak baharu dan seterusnya memberikan kontrak kepada kontraktor tempatan di Sarawak.

“Proses sebegini dapat mengurakan kurang kerenah birokrasi berbanding melalui kerajaan persekutuan.

“Justeru, kami bersyukur kerana kerajaan persekutuan bersedia menerima pakai prosedur ini yang membolehkan kami menyegerakan pembaikan sekolah dan klinik usang di Sarawak,” tegasnya.

Pada 11 April lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan bahawa kerajaan Sarawak sedang mengkaji mekanisme yang boleh dilaksanakan yang akan memacu projek usang di sekolah dan klinik.

Beliau berkata, mekanisme yang berkesan itu mampu untuk mempercepatkan penyediaan kemudahan yang sesuai untuk pegawai perubatan, jururawat, guru dan kakitangan pentadbiran sekolah.

Abang Johari menambah bahawa beliau telah mencapai persetujuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pegawai kanan persekutuan telah mengesahkan perjanjian ini.

Bagaimanapun, katanya, lebih penting bagaimana kerajaan persekutuan boleh memulangkan semula dana itu kepada Sarawak melalui mekanisme yang betul antara Kementerian Kewangan dan kerajaan negeri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini