Mata buta, tidur sebulan akibat MS

Mata buta, tidur sebulan akibat MS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GARA-GARA sejenis penyakit saraf dikenali Sklerosis Pelbagai (MS), Norzey Md. Nata mengalami pelbagai episod gejala mengerikan.

Paling menakutkan apabila dia tidur sebulan dan tidak boleh bangun setelah penyakit itu menyerang bahagian otaknya pada suatu insiden sekitar 10 tahun lalu.

Suaminya, Rizal Al-Amin Aminuddin berkata, ketika itu, MS menyerang pada hipotalamus dalam otak, menyebabkan isterinya tidur tanpa terjaga walaupun sesaat.

“Dia bukan koma tetapi tidur saja di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kalau panggil, dia boleh beri tindakbalas. Dia boleh menguap, bergerak, tetapi tidak boleh bangun dari tidur.

“Doktor menjalankan terapi pertukaran plasma dan rawatan menggunakan ubat seakan kemoterapi. Selepas sebulan lebih, barulah Norzey mula bangun dari tidur, tetapi terlantar selama satu setengah tahun,” katanya pada forum membincangkan Harapan Baharu Untuk Pesakit anjuran Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. baru-baru ini.

Selepas menjalani terapi di Hospital Rehabilitiasi Cheras, ibu kepada empat anak itu, boleh berjalan tapi dalam jarak terhad.

Sebelum itu, pada 2011, Norzey hampir buta akibat penyakit berkenaan namun belum mengetahui menghidap MS.

Rizal yang juga Presiden, Multiple Sclerosis Society of Malaysia (MSSM) berkata, ketika itu, Norzey dalam perjalanan ke tempat kerja dan mengadu penglihatan kirinya kabur.

Selepas menemui pakar saraf di Hospital Serdang, Norzey disahkan mengalami gejala awal MS iaitu optik neuritis.

Norzey diberikan ubat steroid dan sembuh dalam tempoh sebulan. Dua bulan kemudian, gejala sama muncul lagi, tapi kali ini di sebelah mata kanan pula. Kali ini matanya buta sepenuhnya.

Sekali lagi Norzey diberikan ubat steroid yang sama dan sembuh. Namun, setiap dua bulan, Norzey akan mengalami gejala baharu yang agresif seperti lumpuh di bahagian bawah badan (Diplopia).

Pada 2012, Norzey dirujuk ke HKL dan disahkan mengalami MS selepas menjalani ujian MRI.

“Oleh kerana gejala sering menyerang isteri saya, saya terpaksa meletakkan jawatan untuk menjaganya
dan menjalankan perniagan sendiri.

“Sebelum ini, kami tidak tahu apapun mengenai MS. Rupa-rupanya ia adalah keadaan yang boleh mengganggu kehidupan pesakit dan keluarga terutama pasangan,” katanya.

 

Gejala terbaharu dialami Norzey adalah gangguan pada pertuturannya sehingga sukar untuk orang lain memahami butir bicaranya.

Namun kini dia mampu bertutur walaupun tidak sesempurna dulu.

Gejala MS kini menyerang sebelah kiri badan Norzey dan memberi kesan ke atas daya kognitif yang menjejaskan memorinya.

Sejak 2016, Norzey menjalani terapi pengubahsuaian penyakit, kini boleh berjalan dalam jarak terdekat dan membuat kerja rumah.

Rizal yang menyertai MSSM sejak 2014, dilantik sebagai Presiden pada 2022 dengan jumlah keahlian
seramai 300 orang yang kebanyakannya adalah penghidap MS.

“MSSM ditubuhkan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai MS, berdasarkan pengalaman kami

“Ia juga adalah sebagai kumpulan sokongan kepada pesakit. Suara mereka sebagai pesakit juga perlu didengari dan pelbagai aktiviti dijalankan untuk ahli,” katanya.

WANITA MUDA BERISIKO
Pakar Neurologi, Dr. Chey Shin Yee berkata, MS penyakit neurologi yang menjejaskan otak dan saraf tunjang (sistem saraf pusat) yang mengawal semua fungsi badan.

“Dalam kes MS, sistem imun merosakkan selaput yang melindungi saraf dikenali sebagai mielin. Ini akan menganggu keupayaan saraf untuk mengalirkan isyarat ke otak dan dari otak.

“Badan kita memiliki kemampuan memperbaiki mielin ini dalam tempoh tertentu. Bagaimanapun, kerosakan berulang menyebabkan parut di sistem saraf. Sklerosis bermakna parut dalam istilah perubatan,” katanya.

Punca berlaku MS tidak diketahui tetapi terdapat pelbagai jenis faktor penyebab ia berlaku.

Ia kerap menyerang golongan muda, berusia 20 hingga 40 tahun.

Golongan wanita lebih ramai mengalaminya dengan kadar tiga wanita berbanding seorang lelaki.

Dr. Chey berkata, genetik turut menyumbang kepada faktor berlakunya MS dan kerap ditemui dalam kalangan orang berkulit putih di Eropah Utara dan Amerika.

“MS jarang berlaku dalam kalangan orang Asia terutama Malaysia tetapi amat penting untuk kita mengetahui mengenai penyakit ini,” katanya.

Jika anda mempunyai ibu bapa atau adik beradik menghidap MS, risiko adalah lebih tinggi iaitu antara tiga hingga empat peratus.

Faktor persekitaran turut mempengaruhi risiko seperti tabiat merokok, obesiti dan kekurangan vitamin D antara faktor penting berlakunya MS.

 

PELBAGAI GEJALA
Penghidap MS boleh mengalami pelbagai gejala ringan sehingga melemahkan seperti penglihatan kabur, pening, lesu, kebas, semut-semut, kejang otot, lemah anggota badan dan kaku, masalah pergerakan, masalah pertuturan, vertigo, gangguan usus besar atau pundi kencing dan sukar untuk menelan.

 

JENIS MS
Dr. Chey berkata, MS relapsremisi atau yang berulang-ulang (RRMS) adalah jenis yang paling biasa berlaku.

“Individu yang mempunyai RRMS mengalami episod gejala neurologi yang berulang-ulang, diikuti tempoh reda atau remisi.

“Satu episod boleh berlarutan selama beberapa hari atau minggu. Tempoh pemulihannya mungkin mengambil masa beberapa minggu atau bulan, bergantung kepada gejala,” katanya.

Tambahnya lagi, sesetengah pesakit ada gejala yang tidak hilang sepenuhnya.

Lama-kelamaan, RRMS boleh berubah menjadi MS Progresif Sekunder (SPMS) di mana fungsi neurologi semakin merosot dan ketidakupayaan pula terkumpul secara berperingkat walaupun tiada relaps.

“MS Progresif Primer (PPMS) adalah jenis yang jarang berlaku. Pesakit mengalami gejala semakin teruk dari awal tanpa relaps atau remisi ketara.

“Individu dengan MS teruk mungkin terpaksa bergantung kepada alat bantuan pergerakan atau menggunakan kerusi roda, tidak dapat bekerja dan akhirnya memerlukan penjaga,” katanya.

KURANG OTAK ROSAK
Perunding Neurologi, Dr. Low Soon Chai menyifatkan MS adalah masalah kesihatan sepanjang hayat dan tidak dapat disembuhkan.

“Penyakit ini sangat sukar diramalkan kerana bagi sesetengah orang, mereka melalui fasa reda di mana
keadaan semakin baik (remisi) dan kemudiannya penyakit menyerang semula (relaps).

“Bagi orang lain, keadaan mereka mungkin bertambah buruk dari semasa ke semasa. Namun individu dengan semua bentuk MS mengalami aktiviti penyakit seperti keradangan sistem saraf dan kehilangan kekal sel-sel saraf otak, walaupun ketika gejala klinikal tidak ketara,” katanya.

Beliau menegaskan pengesanan awal penting untuk mencegah kesan buruk akibat gejala yang berlaku.

MS menjejaskan pesakit secara fizikal, mental dan emosi. Sesetengahnya tidak boleh berjalan, terpaksa
menggunakan kerusi roda.

“Justeru, mereka yang mengalami gejala, perlu segera berjumpa doktor. Doktor akan bertanya kepada pesakit mengenai gejala yang dialami, memeriksa dan menjalankan ujian darah.

“MRI sangat penting untuk membantu doktor mengesan penyakit MS. Jika pesakit mengalami simptom, mereka perlu menjalani MRI otak atau tulang belakang untuk mengesan kerosakan atau lesion,” katanya.

Cara lain ialah menggunakan kaedah lumbar puncture iaitu memasukkan jarum di tulang belakang pesakit untuk mengambil sampel daripada tulang belakang.

Tujuan rawatan adalah untuk mengurangkan relaps ketidakupayaan, mengurangkan lesion yang
boleh dilihat dalam MRI dan paling penting mengurangkan kerosakan otak.

“Kita tidak mahu pesakit duduk di atas kerusi roda, sebaliknya mahu pesakit berjalan dan berlari.

“Suntikan di bawah kulit di perut tiga kali seminggu dan ubat diambil secara oral atau dimakan. Cabaran kepada pesakit, mengambil ubat kurang kesan sampingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×