SEREMBAN: Sebanyak tiga gunung, tiga bukit dan sebuah hutan simpan di negeri ini akan menjadi tumpuan para peminat sukan rekreasi bagi menyahut cabaran dalam program Negeri Sembilan Seven Wonders Challenge: Road To HSN 2024 selama tujuh bulan bermula 27 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Mustapha Nagoor berkata, program berkonsep karnival sukan itu akan dilaksanakan di setiap daerah sepanjang tempoh itu dengan matlamat pembudayaan sukan untuk semua dan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan orang ramai.
Katanya, program itu dianjurkan sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera yang disambut pada bulan September setiap tahun dan Hari Sukan Negara 2024 pada 12 Oktober ini.
“Program ini juga menjadi platform kepada kerajaan negeri untuk mempromosikan tempat atau produk pelancongan setiap daerah di Negeri Sembilan.
“Pelancongan berasaskan sukan sememangnya berpotensi untuk dijadikan produk pelancongan yang memberi pulangan lumayan kepada negara mahu pun negeri,” katanya kepada para pemberita pada acara prapelancaran program berkenaan di Wisma Negeri di sini hari ini.
Acara prapelancaran itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mustapha memberitahu, program bermula dengan pendakian Gunung Angsi di Kuala Pilah pada 27 April ini, Bukit Melati, Nilai (1 Jun), Gunung Tampin (29 Jun), Bukit Penarikan, Jempol (20 Julai), Bukit Batu Sawa, Jelebu (10 Ogos), Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson (7 September) dan berakhir di Gunung Datuk, Rembau (5 Oktober).
Jelasnya, para peserta perlu mendaftar secara dalam talian dengan bayaran sebanyak RM10 dan layak mendapat bip peserta, snack pack, medal, insuran berkelompok dan e-Cert.
Selain itu, tambahnya, terdapat juga acara sampingan di tempat program seperti pameran agensi, pameran penaja, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, aerobikthon, e-sports serta acara sukan lain.
“Sehingga hari ini, hampir 800 orang pendaki telah mendaftar dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga 1,200 orang selepas majlis pra-pelancaran hari ini.
“Saya berharap program ini dapat memberi impak kepada budaya sihat dalam kalangan orang ramai dan pada masa sama mempromosi Negeri Sembilan sebagai pilihan destinasi pelancongan di negara kita,” ujarnya.-UTUSAN.











