Kubur besar bukti kekejaman Israel

Kubur besar bukti kekejaman Israel

PASUKAN forensik Palestin mengumpulkan mayat yang ditemukan di pekarangan Hospital Al-Shifa di Gaza selepas hospital itu ditinggalkan oleh tentera Israel yang menawan kemudahan perubahan tersebut selama lebih dua minggu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penemuan kubur besar membabitkan kira-kira 400 rakyat Palestin yang kebanyakannya dipercayai pesakit dan kakitangan perubatan di pekarangan Hospital Al-Shifa membuktikan kekejaman Israel sudah melampaui batas kemanusiaan.

Tanah perkuburan tersebut ditemui sekumpulan doktor dan pasukan pertahanan awam Gaza selepas askar Israel berundur daripada menawan institusi ke­sihatan berkenaan yang terletak di bandar Gaza sejak 1 April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Eksekutif Yayasan Al-Quds Malaysia, Dr. Sharif Abu Shammala berkata, penemuan tanah perkuburan besar tersebut membongkar kekejaman dan jenayah baharu didalangi rejim Zionis terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tanah perkuburan dengan jumlah jasad rakyat Palestin tidak berdosa yang ramai ditemui. Dalam kalangan mangsa merupakan pesakit di Hospital Al-Shifa yang ditanam berdasarkan penemuan peralatan perubatan seperti cecair intravena (IV) dan pembalut luka di sebahagian anggota badan.

“Setakat ini kira-kira 400 ja­sad ditemui sejak Israel berundur dari Hospital Al-Shifa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sejak 1 April lalu, tentera rejim Zionis menawan Hospital Al-Shifa dengan menjadikan fasiliti kesihatan tersebut sebagai markas sementara operasi ketenteraan di bandar Gaza.

Selepas 14 hari beroperasi di pusat perubatan terbesar di Gaza itu, tentera rejim Zionis berundur dari kawasan tersebut, namun meninggalkan puluhan jasad rakyat Palestin di sekitar fasiliti tersebut.

Berdasarkan laporan rasmi pihak berkuasa Palestin, sebahagian besar kompleks hospital tersebut telah musnah akibat kezaliman rejim Zionis.

Mengulas lanjut, Sharif berkata, penemuan tersebut membuktikan tindakan melampaui batas Israel yang sebelum ini menyerbu masuk ke hospital tersebut dengan alasan fasiliti perubatan berkenaan digunakan Hamas sebagai pusat operasi.

“Sebaliknya, apa yang jelas adalah ia hanyalah alasan Zionis semata-mata untuk melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza walaupun kebanyakan mangsa sedang mengalami kecederaan akibat kerakusan Israel  sendiri,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini