KOTA BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) sedia membantu memulihkan semula kira-kira 4,000 koperasi yang berdaftar dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di seluruh negara selepas dikesan tidak aktif.
Anggota Lembaga Angkasa Datuk Che Mohd. Shukree Che Isa berkata, bantuan tersebut melibatkan kerja-kerja pengurusan mesyuarat agung dan pengauditan akaun milik koperasi terlibat bagi membolehkan laporan dihantar kepada pihak SKM.
Menurutnya, pada masa kerja-kerja pemulihan itu dilakukan sebagiaman garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak SKM.
“Kalau ikut sasaran, kami mahu sekurang-kurangan setiap negeri memulihkan 10 buah koperasi. Ini merupakan indeks pencapaian utama Angkasa.
“Untuk makluman, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai jumlah koperasi tertinggi di negara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Angkasa Kelantan di sini hari ini.
Che Mohd. Shukree memberitahu, sekiranya koperasi tersebut mempunyai aset seperti tanah Angkasa akan membantu memajukan kawasan tersebut sekali gus membolehkan mereka menyelesaikan segala masalah kewangan.
“Bila mereka (koperasi) ada aset, koperasi tersebut tidak dapat ditutup.
“Jadi aset yang beku itu, kita akan pulih semula sekali gus membantu koperasi,” ujarnya.-UTUSAN










