PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) Uzbekistan, Timur Kapadze enggan mendabik dada apabila turun sebagai pasukan pilihan bertemu Malaysia dalam aksi pertama Kumpulan D Piala Asia B-23 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar, hari ini.
Walaupun Uzbekistan B-23 merupakan juara bagi edisi 2018 dan menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan D, Kapadze memilih untuk menghormati setiap lawan yang bakal dihadapi.
Jelasnya, aksi pertama kumpulan dalam mana-mana kejohanan adalah mustahak kerana ia menjadi hala tuju pasukan bagi perlawanan seterusnya lantas membuatkan Timur dan pemainnya berazam mengutip tiga mata penuh.
“Sebelum kami datang, kami sudah ada sasaran konkrit. Setiap pasukan mempunyai peluang sama rata. Pemain kami sudah bersedia untuk kejohanan ini dan kami akan memenanginya.
“Hari ini kami ada perlawanan pembukaan dan ia penting untuk bagaimana setiap bermula dalam kejohanan. Saya hormati pasukan lawan.
“Bagaimanapun, kami juga ada sasaran kami mahu menang. Saya tahu kejohanan ini tidak mudah dan walau bagaimanapun, kami tetap mahu mendapatkan kemenangan pada perlawanan pertama nanti,” katanya dalam sidang media.
Uzbekistan merupakan juara edisi 2018 selepas menewaskan Vietnam 1-0 di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, China.
Skuad kendalian Kapadze itu juga merupakan juara Kumpulan E di pusingan kelayakan tahun lalu dengan mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan. – UTUSAN











