PETALING JAYA: Yayasan MR D.I.Y. telah melancarkan program biasiswa pertamanya dalam menyediakan sokongan yang diperlukan kepada rakyat Malaysia yang mencari bantuan kewangan dalam usaha melanjutkan pendidikan.
Yayasan itu berkata, program Biasiswa Yayasan MR D.I.Y. bertujuan menyokong mahasiswa dan mahasiswi yang layak dengan rekod akademik, kepimpinan dan perkhidmatan masyarakat yang cemerlang dengan mengurangkan beban kewangan mereka.
Jelasnya, Yayasan itu mengumumkan dua penerima pertamanya iaitu Cheong Wai Kee (pelajar Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam bidang Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan), dan Tan Zhi Liang (pelajar Ijazah Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) dalam bidang Perakaunan).
“Kedua-duanya adalah pelajar semester keempat dan semester kedua di kampus Universiti Tunku Abdul Rahman di Kampar, Perak,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MR D.I.Y., Zaleha Mohd Mydin berkata, kedua pelajar itu mempunyai kesemua kualiti yang dicari dan berharap pengiktirafan serta sokongan akan memberi inspirasi kepada lebih ramai belia di Malaysia berusaha meraih kejayaan yang sama.
Katanya, Yayasan MR D.I.Y. percaya dengan kuasa transformasi pendidikan dan komited memberi peluang kepada para pelajar yang berbakat untuk merealisasikan potensi mereka.
“Program biasiswa ini menyediakan bantuan kewangan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang mempamerkan kecemerlangan akademik yang tinggi, keupayaan kepimpinan, dan dedikasi yang tinggi dalam khidmat masyarakat,” ujarnya.
Tambah Zaleha, matlamat Yayasan untuk mewujudkan impak positif kepada kehidupan belia di Malaysia, memperkasakan mereka menjadi pemimpin dan pencetus perubahan seterusnya untuk menghasilkan impak kepada negara dan masyarakat akan datang.
Yayasan MR D.I.Y. memberi tumpuan kepada perlindungan alam sekitar, kesihatan, pembangunan kapasiti, dan pemupukan seni dan budaya.
Yayasan itu ditubuhkan pada Jun 2023 komited untuk mewujudkan impak yang positif kepada semua rakyat Malaysia dan untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif Yayasan MR D.I.Y. boleh layari https://www.mrdiy.com/project?year=2024. – UTUSAN










