Dua scammer nafi subahat, sogok deputi superintenden

Dua scammer nafi subahat, sogok deputi superintenden

KEDUA-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan memberi dan bersubahat menyogok seorang pegawai kanan polis. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi dan bersubahat menyogok seorang pegawai kanan polis berpangkat deputi superintenden, tahun lalu.

Tertuduh, Teo Teck Qing, 26, dan Keong Kah Wai, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Teck Qing didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM60,000 kepada seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap dirinya dan rakan-rakan yang disyaki melakukan aktiviti penipuan.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Sementara itu, Kah Wai didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 17 (b) dan Seksyen 24 (1) akta sama kerana bersubahat dalam perlakuan kesalahan Teck Qing yang memberikan suapan kepada pegawai polis.

Kesemua kesalahan dilakukan kira-kira pukul 1.15 tengah hari di hadapan sebuah kedai serbaneka di Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 1 Jun 2023.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM80,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Umar Zulkarnain merayu bagi pihak peguam Daljit Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh agar jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 dan RM30,000 terhadap Teck Qing dan Kah Wai dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 21 Mei ini untuk pengurusan kes dan serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×