Kurangkan guna air sebanyak 10 peratus sehingga Jun - PBAPP

Kurangkan guna air sebanyak 10 peratus sehingga Jun – PBAPP

K. PATHMANATHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pengguna air terutamanya yang tinggal di sekitar kawasan Air Itam di sini disaran agar mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus untuk tempoh tiga bulan ini iaitu sehingga Jun bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanantan berkata, hal ini demikian kerana, pihaknya sendiri tidak dapat menjangka berapa lama tempoh musim panas dan kering ini akan berakhir.

Bagaimanapun, Pathmanathan berkata, PBAPP tetap komited untuk memastikan perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan perkhidmatan mereka khususnya di Air Itam.

“Menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan daripada fenomena El Nino (panas dan kering) kepada fenomena La Nina (basah dan hujan tidak lama lagi) dan METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) juga meramalkan (akan berlaku) taburan hujan yang lebih tinggi iaitu antara April hingga Julai 2024 dengan ketibaan musim peralihan monsun.

“Jadi, untuk memastikan kita mempunyai air yang mencukupi di Pulau Pinang, pengguna air terutamanya yang tinggal di sekitar Air Itam harus mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus iaitu pada bulan April, Mei dan Jun ini,” katanya di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, hujan lebat di beberapa kawasan di negeri ini tidak membantu meningkatkan paras Empangan Air Itam yang kini mencatat tahap ketiga kritikal iaitu pada kapasiti 30.8 peratus.

Kon Yeow berkata, ini kerana hujan berkenaan tidak turun di kawasan tadahan air Empangan Air Itam, sebaliknya, ia turun di kawasan lain di negeri ini.

Mengulas lanjut, Pathmanantan berkata, ketika ini, PBAPP telah mengurangkan purata pengeluaran air mentah hariannya dari Empangan Air Itam sejak Februari 2024, dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).

“AIDAP 2024 telah dilaksanakan mulai 5 Februari lalu apabila kapasiti efektif Empangan Air Itam ialah 32.8 peratus, dan semalam, kapasiti efektif empangan itu ialah 30.3 peratus.

“Keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari yang lalu harus meyakinkan pengguna air di Air Itam bahawa kapasiti efektif empangan 30.3 peratus bukanlah penyebab panik,” katanya.

Jelas Pathmanathan lagi, keputusan yang sama juga menunjukkan bahawa kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menurun sebanyak 2.5 peratus dalam tempoh 70 hari iaitu dengan kadar purata sebanyak 0.036 peratus sehari.

Dalam pada itu, beliau menambah, dalam tempoh lebih dua bulan itu juga Pulau Pinang telah menyambut dua musim perayaan utama ketika berdepan dengan cuaca panas dan kering.

“Jadi, pilihan yang ada buat PBAPP ketika ini ialah mengetatkan lagi kawalan bekalan air AIDAP dalam usaha mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa yang lebih lama,” katanya yang bagaimanapun memberitahu, pelaksanaan kawalan tersebut boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×