NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi berjanji meningkatkan infrastruktur, mengembangkan program kebajikan dan meningkatkan peluang pekerjaan jika Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinannya memenangi pilihan raya untuk penggal ketiga.
Pilihan Raya Umum (PRU) yang bermula pada 19 April ini diadakan dalam tujuh peringkat sehingga 1 Jun dengan undian akan dikira pada 4 Jun dan keputusan dijangka diumumkan pada hari yang sama.
Modi, 73, secara meluas dijangka memenangi penggal ketiga selepas menerajui negara itu selama 10 tahun dan mencatat pertumbuhan ekonomi yang kukuh, projek infrastruktur, pemberian kebajikan serta nasionalisme Hindu yang agresif.
Tinjauan bagaimanapun mencadangkan, pengangguran, inflasi dan kemiskinan luar bandar kekal sebagai isu yang membimbangkan di negara paling ramai penduduk di dunia itu walaupun ekonominya kukuh dan usaha menanganinya bakal menjadi cabaran terbesar Modi.
“Fokus kami adalah pada maruah kehidupan dan kualiti hidup. Tumpuan kami juga untuk mewujudkan pekerjaan melalui pelaburan,” kata Modi selepas mengeluarkan manifesto, bertajuk Jaminan Modi di ibu pejabat parti itu di ibu negara.
Modi berkata, manifesto itu tertumpu kepada mewujudkan pekerjaan dalam sektor seperti infrastruktur, penerbangan, kereta api, kenderaan elektrik, tenaga hijau, semikonduktor dan farmaseutikal.
“Belia India tidak akan membayangkan berapa banyak peluang yang akan datang kepada mereka,” katanya kepada ahli BJP yang bersorak termasuk menteri tertinggi persekutuan.
Modi juga berikrar untuk mengembangkan program insuran kesihatan percuma kepada warga India berumur 70 tahun ke atas dan mendorong sambungan paip gas memasak ke semua rumah.
Janji lain termasuk menaikkan had pinjaman untuk peminjam kecil dan mikro bukan pertanian, menawarkan perumahan percuma untuk 30 juta penduduk miskin dan mengekalkan program bijirin percuma untuk 800 juta orang sehingga 2029.
Lapor akhbar Hindu minggu lalu, isu pengangguran menjadi kebimbangan utama 27 peratus daripada 10,000 pengundi melalui tinjau oleh Lokniti-CSDS di 19 daripada 28 negeri dengan kenaikan harga berada di tempat kedua pada 23 peratus.
Ia juga mendedahkan bahawa hampir 16 peratus belia bandar dalam kumpulan umur 15 hingga 29 tahun kekal menganggur sepanjang dua tahun lalu disebabkan kemahiran yang lemah dan kekurangan pekerjaan yang berkualiti.-REUTERS











