Sistem tol kuno, ketinggalan zaman?

Sistem tol kuno, ketinggalan zaman?

Gabungan teknologi canggih dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat menjadi kunci utama bagi mengatasi isu penyamaran nombor plat kenderaan dalam pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa palang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sistem bayaran tol di lebuh raya di negara ini dianggap kuno dan ketinggalan zaman sekali gus menjadi penyumbang kesesakan jalan raya melampau terutama pada waktu puncak, cuti umum dan musim perayaan.

Setiap tahun pengguna terpaksa menempuh perjalanan panjang sehingga ada melebihi 10 jam semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri disebabkan masalah kesesakan lalu lintas akibat pertambahan jumlah kenderaan di jalan raya.

Jumlahnya menjadi dua atau tiga kali ganda berbanding hari biasa bergantung kepada jarak destinasi hendak dituju.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, tol berpalang yang masih digunakan sehingga kini adalah sistem zaman kuno dan hanya diguna pakai oleh negara dunia ketiga.

Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya Malaysia mengubah kaedah pembayaran tol dengan tidak hanya bergantung kepada sistem sedia ada seperti Touch ‘n Go sebagaimana dilaksanakan di Eropah.

“Rakyat sudah penat dan letih kerana setiap kali waktu puncak dan cuti umum, jalan raya pasti sesak terutama di plaza tol disebabkan banyak kereta perlu beratur untuk melalui sistem tol berpalang yang digunakan di lebuh raya.

“Apabila guna sistem berpalang, semua pemandu terpaksa memperlahankan kenderaan sebelum membayar tol, itu belum ambil kira baki kad tidak cukup dan kegagalan sistem membaca kad pintar atau smart tag.

“Jadi, sistem ini perlu segera diubah, lihat sepertimana dilaksanakan di negara-negara Eropah dan kerajaan perlu melabur ke arah itu demi memastikan isu kesesakan melampau di lebuh raya tidak terus menghantui rakyat,” katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas isu kesesakan jalan raya melampau di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Karak (KLK) sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini terutama membabitkan laluan di Karak dan Bentong.

Mohd. Sharkar berkata, kese­sakan melampau di LPT dan KLK bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama berlaku kerana penduduk Pantai Timur khususnya Kelantan banyak yang berhijrah serta bekerja di luar dari negeri berkenaan.

“Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) apabila siap sepenuhnya nanti dan ada plaza tol, saya percaya ia tidak mengurangkan kesesakan sebaliknya lebih sesak ketika waktu puncak terutama musim perayaan kerana ramai pengguna khususnya dari Kelantan tertumpu di laluan itu.

“Jadi, apa penyelesaiannya? Itu kerajaan perlu segera kaji dan ubah sistem sedia ada ketika ini kepada satu sistem yang lebih efisien. Jika jalan sesak, kerajaan yang akan terima kesannya kerana rakyat akan menyalahkan kerajaan,” katanya.

Beliau dalam pada itu mencadangkan kerajaan atau syarikat konsesi lebuh raya supaya benar-benar mengaplikasikan pemberian tol secara percuma.

“Jika beri tol percuma, tidak perlu guna palang, sebab beri tol percuma untuk elak kesesakan jalan raya. Tapi bila sistemnya sama, rakyat tetap perlu guna kad Touch ‘n Go, tiada guna beri tol percuma.

“Kerajaan atau syarikat konsesi lebuh raya perlu memikirkan sistem terbaik untuk mengira jumlah kenderaan yang melalui lebuh raya, bukan terus kekal dengan cara lama yang ketinggalan zaman dan menyusahkan rakyat,” ujarnya.

Berhubung kesesakan di LPT dan KLK, beliau mencadangkan kerajaan menutup sebuah plaza tol di situ antara Karak dan Bentong.

“Salah satu plaza tol antara Karak atau Bentong perlu ditutup. Jaraknya terlalu dekat dan ia menyumbang kepada kesesakan melampau pada waktu puncak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini