TUMPAT: Masalah gangguan bekalan air yang berterusan menyebabkan penduduk di sini terpaksa menggali telaga tiub untuk mendapatkan sumber dalam meneruskan kelangsungan hidup.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk dari Kampung Kubang Sawa di sini, Rosnani Mat Roni, 48, berkata, dia terpaksa mengeluarkan belanja lebih RM1,000 untuk membina telaga tiub.
Menurutnya, pembinaan itu merupakan usaha dalam menyelesaikan masalah gangguan bekalan yang memberikan kesan buruk kepada kehidupan harian.
“Sudah dua tahun berlaku gangguan air di kawasan ini, terpaksalah menggunakan air telaga tiub.
“Sekurang-kurangnya ada air di rumah kami biarpun airnya kurang bersih,” katanya.
Sementara itu, Nurul Ain Zukifli, 32, dari Kampung Kubang Batang memberitahu, dia turut membina telaga tiub selepas acap kali berdepan masalah gangguan bekalan.
Katanya, sebelum ini dia pernah terputus bekalan lebih dua minggu sehingga terpaksa mengambil air dari kawasan tali air untuk kegunaan harian.
“Sehingga kini saya masih berdepan masalah gangguan bekalan air. Namun, selepas membina telaga tiub, sekurang-kurangnya saya ada sumber lain jika bekalan terputus,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, kira-kira 50 peratus atau 600,000 daripada 1.2 juta rakyat Kelantan kini bergantung kepada telaga atau telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air selepas masalah lebih 25 tahun lalu tidak selesai.
Walaupun kos menggali telaga atau telaga tiub mencecah ribuan ringgit, penduduk sudah tidak mampu untuk menanggung ‘sengsara’ susulan syarikat pengendali perkhidmatan yang diberi tugas menyediakan bekalan air bersih gagal melaksanakannya.
Malah, mereka juga seolah-olah berputus asa dengan jaminan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bekalan air bersih yang lambat kesudahannya, dan lebih menyakitkan hati apabila penduduk terpaksa membayar ‘bil angin’ setiap bulan.
Antara kawasan yang teruk terjejas tiada bekalan air ialah Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kota Bharu, Machang dan sebahagian Kuala Krai serta Machang.











