Dakwah moden Siddiq Fadzil masih relevan sehingga hari ini

Dakwah moden Siddiq Fadzil masih relevan sehingga hari ini

SIDDIQ FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

USAHA tajdid dakwah pada masa kini sangat relevan kerana ia merupakan salah satu penyelesaian untuk mengembalikan golongan lalai serta terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

Tajdid juga bertujuan untuk memastikan bahawa ajaran-ajaran Islam masih relevan dan bermakna dalam masyarakat yang moden. Oleh itu, setiap individu perlu sedar akan tanggungjawabnya dalam mengajak manusia berbuat baik dan mencegah kemungkaran atau dalam bahasa Arabnya disebut sebagai amar makruf nahi munkar.

Malaysia melahirkan beberapa tokoh yang memberi sumbangan besar dalam membimbing masyarakat lalu menghasilkan pemikiran Islam yang bersesuaian dengan masa kini dalam usaha untuk menggerakkan tajdid dakwah.

Antaranya adalah allahyarham Datuk Dr. Siddiq Fadzil, seorang insan yang dikenali kerana sumbangan dan usaha dalam aspek pembangunan landasan keorganisasian dakwah moden dan juga pembinaan ilmu serta pemikiran Islam kontemporari.

Misalnya dalam organisasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), beliau pernah terlibat dalam usaha untuk melahirkan masyarakat yang mematuhi agama dengan mengubah kaedah pemakaian wanita Islam. Usaha ini amat penting kerana perintah menutup aurat merupakan perintah Allah, bukannya perintah manusia mahupun undang-undang dunia.

Dari sini kita dapat lihat bahawa sekecil-kecil usaha itu tidak mustahil akan memberi impak besar dalam kehidupan seseorang yang beragama Islam.

Selain daripada sumbangan dalam aspek tajdid dakwah, beliau juga merupakan seorang ilmuwan yang terulung di negara kita. Beliau mempunyai kelebihan dalam menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Arab, Jawa dan Inggeris. Beliau juga pernah menyampaikan syarahan dengan menggunakan bahasa Jawa halus seperti mana yang dikatakan oleh Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Antara karya Siddiq adalah Minda Melayu Baru (1992), Pengurusan Tawhidik (2001), Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1999) serta banyak lagi.-UTUSAN

WARDATUL FATINI ISALAH MOHAMAD ISA dan PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×