PETALING JAYA: Dua pelumba basikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Ridwan Sahrom tersingkir awal dalam acara masing-masing pada pusingan ketiga dan terakhir Piala Negara-negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Kanada.
Ridwan yang mewakili acara keirin lelaki gagal melepasi pusingan pertama repechages selepas hanya menduduki tempat kedua di belakang juara dari Belanda, Jeffrey Hoogland pada saringan keenam.
Pelumba kelahiran Johor itu terpaksa bersaing pada pusingan pertama repechages selepas menduduki tempat keempat dalam saringan empat.
Hanya pelumba menduduki tempat pertama dalam setiap saringan layak ke pusingan kedua dan baki pelumba lain akan mara ke pusingan pertama repechages.
Dalam pada itu, pelumba sensasi negara, Izzah tewas di tangan atlet dari Mexico, Luz Daniela Gaxiola Gonzales pada saringan pertama final acara pecut wanita 1/16.
Pelumba berusia 20 tahun itu, sebelum ini mara ke final selepas beliau berada di tempat ke-28 sekali gus di kedudukan terakhir dalam senarai untuk ke peringkat seterusnya dalam pusingan kelayakan.
Ridwan dan Izzah mempunyai satu lagi peluang untuk membuktikan prestasi masing-masing dalam acara pecut lelaki dan keirin wanita hari ini.
Terdahulu, Izzah dan Ridwan berkelana di Melbourne, Australia sejak pertengahan Mac lalu bagi memberi laluan kepada latihan berintensiti tinggi untuk mengejar mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurut ketua jurulatih berbasikal negara, John Beasley, program latihan berkenaan akan berlangsung selama empat minggu sehingga Piala UCI di Milton Kanada bermula.
“Selepas saingan UCI ini berakhir, mereka akan pulang ke tanah air untuk menjalani satu fasa latihan sebelum ke Eropah bagi melakukan persiapan terakhir sebelum memulakan cabaran di Paris,” kata Beasley. – UTUSAN










