PETALING JAYA: Ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri dalam kegembiraan, suasana sayu dan hiba menyelubungi bumi Palestin apabila tradisi yang dahulunya dijunjung tinggi semasa menyambut 1 Syawal hilang dalam sekelip mata.
Selepas hampir tujuh bulan diserang tentera Zionis Israel dan hidup dalam konflik serta krisis kemanusiaan yang masih belum nampak penghujungnya, tumpuan mereka kini adalah menyelamatkan diri daripada serangan tersebut.
Berkongsi sambutan perayaan rakyat Palestin di Gaza kepada Utusan Malaysia, Asmaa Eslayeh, 32, berkata, penduduk di wilayah bergolak itu kehilangan tradisi sambutan Aidilfitri yang telah menjadi sebahagian daripada identiti dan budaya masyarakat Palestin.
Beliau turut berkongsi bahawa tradisi seperti menyediakan juadah istimewa dan menghias rumah telah terjejas akibat serangan berterusan menyebabkan kemeriahan dan kegembiraan hari raya yang sepatutnya dirasai hilang dalam sekelip mata.
“Namun begitu, sesetengah masyarakat Palestin cuba meraikan Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan sederhana walaupun mereka hanya berada di dalam khemah sahaja kerana kebanyakan mereka tidak mahu keluar dari rumah masing-masing terutamanya yang berada di Rafah.
“Pada masa sama, kami juga tidak mengadakan kunjungan beramai-ramai sesama saudara mara kerana ia tidak selamat,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Asmaa percaya Allah akan permudahkan segala urusan masyarakat Palestin menghadapi ujian besar itu serta berdoa agar Allah memberikan kekuatan dan kesabaran agar ujian itu berakhir dengan selamat.
“Kami akan terus sabar dan bersyukur kerana Allah telah memilih kami untuk menghadapi ujian ini dan berdoa agar Allah akan menggantikan ujian ini dengan perkara lebih baik dan terus dikurniakan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda,” katanya.
Menurut bekas lulusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi, kehidupan di Palestin pada masa kini semakin sukar, terutamanya mereka sekeluarga perlu menetap di tempat kediaman sementara akibat serangan berterusan tentera Israel.
“Kami perlu menetap di sebuah rumah ladang yang hampir roboh di Khan Younis, yang terletak berhampiran zon konflik perang dengan kekurangan bekalan asas seperti air minuman, internet, pasaran dan hospital,” ujarnya.
“Hampir semua tempat kediaman kami sudah musnah sepenuhnya namun kami bernasib baik kerana mempunyai rumah ladang untuk berteduh dari serangan yang dilakukan,” katanya.
Tambahnya, kenaikan harga barang-barang keperluan turut menjadi beban tambahan seperti harga bahan api telah melonjak dari RM10 seliter kepada RM40 hingga RM50 seliter, menyebabkan pembelian barang harian semakin sukar dilakukan. – UTUSAN










