Pemuda perlu RM5,000 bedah tumit kaki

Pemuda perlu RM5,000 bedah tumit kaki

NORIAH Awang merayu bantuan orang ramai untuk mencukupkan kos pembedahan tumit kaki anaknya yang bernilai kira-kira RM5,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ibu tunggal buntu memikirkan nasib keluarganya selepas perlu mencari wang segera berjumlah RM5,000 bagi membolehkan anaknya menjalani pembedahan akibat retak tumit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noriah Awang, 60, berkata, tumit anaknya, Muhammad Hafizzudin Muhammad, 22, retak selepas terlibat kemalangan pada 14 Mac lalu.

Katanya, pembedahan memasang empat batang skru ke dalam tulang tumit anaknya itu perlu dilakukan segera bagi memulihkan kembali struktur tulang yang patah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menjual kuih dan memperoleh pendapatan bersih sekitar RM30 hingga RM50 sehari. Mana mungkin dapat kumpulkan wang dalam masa singkat.

“Terus terang cakap, duit hasil jualan adalah untuk tampung kehidupan seharian dan tanggung anak-anak yang masih bersekolah,” kata ibu kepada enam cahaya mata itu ketika ditemui di rumahnya di Seberang Balok, di sini semalam.

Noriah berkata, Muhammad Hafizzudin yang merupakan anak keempat daripada enam beradik cedera akibat terlanggar lubang ketika membonceng motosikal selepas pulang dari menggali kubur.

Disebabkan kejadian itu katanya, anaknya yang bekerja sebagai pembantu bengkel tidak dapat berjalan dan seterusnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini bagi rawatan lanjut.

Menurutnya, pemeriksaan doktor pakar mendapati Muhammad Hafizzudin yang kini masih berada di hospital, mengalami keretakan tumit dan perlu menjalani pembedahan segera.

“Anak saya masih menunggu masa untuk membuat pembedahan dan setakat ini wang terkumpul dari sumbangan orang ramai hampir RM3,000,” katanya yang turut menghidap penyakit darah tinggi.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank, 156094520716 atas nama Norizatul Akmar Muhammad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini