PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berkaitan jenama kasut yang memaparkan logo seakan dipercayai kalimah Allah pada tapaknya yang tular di media sosial hari ini.
Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 35 tahun di Pulau Pinang, hari ini.
Katanya, pengadu menyatakan pada pukul 4.32 pagi terlihat satu hantaran di Facebook dibuat berkaitan satu bentuk penghinaan ke atas kalimah Allah.
“Menerusi hantaran tersebut , tertera satu bentuk dan lambang menyerupai kalimah Allah di tapak kasut berjenama Verns. Hantaran tersebut telah di kongsi kira-kira 8,000 orang.
“Susulan itu, kita membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci serta niat jahat atau memudaratkan perpaduan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Susulan itu, Razarudin berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut mengenai kes tersebut.
“Kita akan mengesan saksi-saksi berkaitan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan agama Islam sekali lagi dibangkitkan selepas sebuah jenama didakwa memaparkan logo seakan dipercayai seakan kalimah Allah di tapak kasut.
Pembeli kasut tersebut, Mohd. Haridz dilaporkan, dia membeli sepasang kasut daripada jenama tersebut untuk isterinya bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, katanya, dia terkejut selepas melihat kasut tersebut mempunyai kalimah Allah di bahagian tapak.
“Kasut ni lepas saya beli, terus tidak buka dan terus letak dalam bilik (tetap) hari ini saya terdetik hati nak tengok.
“Apabila buka (semula) nampak ada (dakwaan) kalimah Allah. Pada mata saya jelas sangat kalimah Allah (di tapak kasut). Saya tidak tahu sama ada ia menjadi trend ke macam mana. Agak kurang ajar,” katanya dalam sebuah video yang tular di Facebook.
Menerusi resit yang dipaparkan kasut wanita itu berharga RM100 sepasang dan dipercayai dibeli di pusat beli belah Kuantan Parade.
Mengulas lanjut, Haridz berkata, dia akan kedai itu semula bagi meminta penukaran kasut atau meminta wangnya semula.
“Untuk orang di luar sana kalau nak beli kasut jenama ini, semak dahulu dan pastikan tiada logo (kalimah Allah),” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, KK Super Mart menerima kecaman teruk susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.
Kejadian yang dianggap menghina agama Islam itu menyebabkan sehingga dua kedai serbaneka tersebut diserang dengan bom petrol. – UTUSAN










