Dua lelaki curi barangan penjagaan diri dicekup - Utusan Malaysia

Dua lelaki curi barangan penjagaan diri dicekup

TANGKAP layar daripada rakaman CCTV menunjukkan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kes curi barang di kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Selasa lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Dua lelaki disyaki mencuri barangan penjagaan badan di dua premis penjagaan kesihatan dan kecantikan di Kuala Berang dekat sini, Selasa lalu berjaya dicekup polis semalam.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 20 hingga 30-an itu ditangkap berasingan di lokasi berbeza selepas diburu polis dan barangan dicuri juga berjaya dirampas semula.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, suspek pertama berusia 20-an yang tidak bekerja ditangkap di Ajil di sini kira-kira pukul 6 petang.

“Seorang lagi suspek berumur 30-an yang merupakan seorang buruh diberkas di Marang lebih kurang pukul 9 malam tadi.

“Barangan penjagaan badan yang dicuri juga telah ditemui hasil tangkapan tersebut. Pakaian yang dipakai suspek seperti yang kelihatan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) juga dirampas,” katanya ketika dihubungi di sini, petang ini.

Tambah beliau, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 9 April ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Utusan Malaysi melaporkan dua lelaki diburu polis setelah disyaki mencuri pelbagai barangan penjagaan badan di dua premis penjagaan kesihatan dan kecantikan di Kuala Berang melibatkan kerugian hampir RM250 pada Selasa lalu.

Perbuatan dua suspek itu dirakam CCTV di dua premis perniagaan terbabit pada pukul 10.55 pagi dan 4 petang.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×