Umrah: Seandainya tidak terperangkap nafsu, emosi

Umrah: Seandainya tidak terperangkap nafsu, emosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA seronok melihat ramai orang yang dapat melakukan ibadat umrah lebih-lebih lagi ketika dalam tempoh 10 malam terakhir Ramadan.

Selain melihat orang ramai melakukan ibadat dan berada dekat dengan Kaabah, keseronokan itu juga timbul apabila dapat melihat pelbagai ragam individu yang pergi menunaikan umrah.

Alhamdulillah, saya sendiri pernah diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah kira-kira tujuh tahun lalu, ketika belum adanya medium TikTok.

ANTARA jamaah umrah yang diuruskan Sofea Munira.

Tapi itu dulu. Sekarang selain menjadi sebahagian ibadat, umrah turut menjadi salah satu lubuk kandungan (content) media sosial untuk meraih pengikut dan pada masa sama menjana pendapatan.

Kita sendiri sudah lihat beberapa perbuatan yang tidak sepatutnya dilakukan ketika berada di tanah suci Mekah sehingga ada mencetuskan kontroversi.

Apa yang berlaku membuatkan saya berfikir tentang ibadat umrah, ragam manusia, penipuan dan TikTok.

Saya juga terfikir tentang panjangnya akal manusia dalam mencari peluang yang ada, sehingga terhasilnya pelbagai content. Bezanya sama ada ia bermanfaat atau menghasilkan kecaman.

Bercerita tentang umrah juga membuat saya terfikir bahawa sebenarnya wujud peluang lebih baik seandainya akal tidak terperangkap dengan nafsu dan emosi.

Dalam hal-hal berkaitan umrah, Sofea Munira Ahmad Shahriza dan suami Mohd. Syahril Alias, membuktikan dengan bermula daripada sekadar memberi bantuan kepada jemaah umrah, rezekinya kemudian ‘disuntik’ dalam bidang yang sama.

‘Saya masih ingat ada satu insiden di mana seorang jemaah menggunakan duit syiling hasil simpanannya untuk menunaikan umrah.Namun apabila sudah sampai ke Tanah Suci Mekah, timbul pula kisah lain seperti ketiadaan makanan dan layanan mutawif yang tidak sepatutnya.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang menguruskanya. Apatah lagi ini berkaitan ibadat,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Sofea Munira, hatinya lebih tersentak apabila dia masih berdepan dengan pengalaman sama ketika bekerja dengan salah sebuah syarikat pengurusan umrah beberapa tahun lalu.

“Saya ralat apabila jemaah umrah yang telah mengeluarkan duit yang banyak untuk menunaikan ibadat, tetapi tidak mendapat apa yang sepatutnya, sedangkan ia amanah dan tanggungjawab.

“Jadi perkara-perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi apabila ia berkaitan dengan agama,” jelasnya.

Selepas apa yang berlaku, dia nekad untuk mencuba membantu menguruskan jemaah umrah bersama suaminya dalam skala yang kecil sehingga tertubuhnya Hejira Travel dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Sofea Munira berkata, walaupun bidang pengurusan umrah ini terkait antara perniagaan dan agama, ia tidak lari daripada unsur penipuan..

“Saya sendiri pernah berdepan ‘scammer’ sehingga kerugian RM40,000 apabila terlalu percayakan seseorang.

“Justeru bidang ini juga ada sisi lain yang perlu berjaga-jaga. Sebabnya yang datang itu ada pelbagai latar belakang ,” jelasnya.

Tambah Sofea Munira, dia turut berdepan dengan ragam jemaah yang datang daripada pelbagai latar belakang.

Dalam pada itu, katanya, ibadat umrah bukanlah tempat untuk menghasilkan kandungan untuk dimuat naik di laman media sosial semata-mata.

“Gunakanlah peluang yang ada sebaik mungkin sebab tidak semua orang berpeluang melaksanakan ibadat umrah. Kadang kala walaupun ada duit yang banyak, kesihatan pula tidak mengizinkan.

“Lagipun belum tentu kita diberi peluang yang sama lagi pada tahun seterusnya untuk melakukan ibadat umrah,” jelasnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN