SUNGAI BULOH : Kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 452.6 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dipercayai berpunca daripada sebuah kereta yang terbabas sebelum melintang di tengah lebuh raya berkenaan.
Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 11.09 malam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pada mulanya, sebuah kereta jenis Honda Accord dipercayai terbabas dan melintang di tengah jalan sebelum dirempuh sebuah pacuan empat roda.
Berita berkaitan:
“Empat lagi kenderaan lain termasuk sebuah bas ekspres dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar pacuan empat roda itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa maut merupakan pemandu pacuan empat roda terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan lelaki warga tempatan berumur 27 tahun.
“Mangsa yang parah adalah penumpang pacuan empat roda terbabit, serta pemandu dan penumpang Honda Accord kemudiannya dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut,” jelasnya.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Mana-mana individu atau saksi yang melihat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Che Hassan Ambok di talian 013-3940423 bagi membantu siasatan,” katanya.
Semalam, seorang maut, dua parah manakala enam individu cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan dekat Kilometer 452.8 arah selatan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini.











