GEORGE TOWN : Pulau Pinang berharap agar dua projek utama negeri ini iaitu projek air Perak-Pulau Pinang dan projek lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua dapat dilaksanakan dengan bantuan Kerajaan Pusat.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dua projek itu yang kini dalam peringkat perbincangan merupakan fokus utama kerajaan negeri dan kedua-duanya juga dalam perhatian Kerajaan Pusat.
“Semalam, ketika taklimat pembangunan Pulau Pinang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya tekankan mengenai kedua-dua projek ini dan sukacita saya maklumkan bahawa, Anwar prihatin dengan projek ini.
“Dengan kehadiran beberapa individu termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Kementerian Air, Tenaga (Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air atau Petra) serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), dilaporkan kedua-dua projek ini kini dalam perhatian Kerajaan Pusat.
“Ia sedang dibincangkan dan kita harap perbincangan ini akan membuahkan hasil untuk pelaksanaan projek tersebut,” katanya selepas merasmikan 2nd World Cat Federation Penang International Cat Fiesta 2024 di Spice Arena di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, mengenai soal dana bagi pelaksanaan kedua-dua projek itu, katanya, walaupun ia tidak melalui peruntukan daripada Kerajaan Pusat, ia boleh dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) atau penswastaan.
“Kalau tidak melalui peruntukan Kerajaan Pusat, kita boleh melihat pelaksanaan secara PFI atau penswastaan. Kaedah pelaksanaan itu bagaimanapun boleh dirunding,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua projek itu kini giat dibincangkan dalam peringkat kementerian dan bagi Pulau Pinang, pihaknya bersyukur ia sudah masuk ke dalam peringkat perbincangan.
“Bagi (projek) Skim Air Perak-Pulau Pinang, kita memang harap ada keputusannya. Projek lebuh raya bertingkat Juru-Sungai Dua pula terbuka untuk reka bentuk yang sesuai, dan ia dalam peringkat perbincangan,” katanya.
Sementara itu, kata Kon Yeow, pada masa ini, Pulau Pinang mempunyai lebih 100 keluarga yang masih berada di bawah paras garis kemiskinan dan apabila Perdana Menteri tahu mengenai bilangannya yang kecil itu, beliau lantas meminta keluarga tersebut dapat dikeluarkan daripada garis kemiskinan.
“Perdana Menteri berharap ini (mengeluarkan keluarga di bawah garis kemiskinan) dapat dilakukan dengan secepatnya supaya kita boleh isytiharkan Pulau Pinang sudah capai sifar miskin tegar.
“Sebenarnya, di Pulau Pinang, kita ada skim ekonomi saksama di mana kita menambah pendapatan keluarga, supaya mereka tidak lagi dalam kategori di bawah garis kemiskinan,” katanya.-UTUSAN










