PETALING JAYA: AmBank Economic Research mengunjurkan inflasi sekitar 2.5 hingga 3.5 peratus tahun ini dan menganggap julat yang luas mencerminkan kerumitan dalam menganggar inflasi 2024 kerana kekurangan butiran mengenai rasionalisasi subsidi.
Ini berbanding unjuran inflasi Bank Negara Malaysia (BNM) kepada purata julat luas antara 2.0 hingga 3.5 peratus pada 2024, dengan inflasi teras kepada purata rendah sedikit antara 2.0 hingga 3.0 peratus.
Menurut nota penyelidikannya, kerajaan masih belum memberikan butiran mengenai keutamaan rasionalisasi subsidinya, seperti struktur atau agihan subsidi baharu dan mekanisme penetapan harga baharu untuk harga RON95.
Katanya, pihaknya percaya pasaran kekal seperti biasa buat masa ini, tanpa penentuan harga dalam kesan yang dijangkakan ke atas operasi perniagaan dan margin keuntungan.
“Jangkaan inflasi akan menjadi lebih ketara apabila butiran mula dikeluarkan. Berdasarkan pengumuman rasmi setakat ini, kami berpendapat inflasi mungkin datang jauh lebih tinggi daripada jangkaan,” katanya di sini, semalam.
Bank penyelidikan berkata, buat masa ini, pihaknya menjangkakan inflasi akan meningkat 0.3 peratus di atas garis asas sekiranya RON95 berharga lebih tinggi sebanyak 10 sen.
“Selanjutnya mengenai risiko peningkatan, kami juga berhati-hati terhadap kesan kadar pertukaran dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit yang tidak menguntungkan dan berpanjangan, terutamanya ke atas import makanan negara.
“Dolar AS mungkin dapat mengekalkan kekuatannya sepanjang 2024, meletakkan mata wang pasaran baharu muncul, termasuk ringgit, di bawah tekanan lebih lama.
“Walau bagaimanapun, tinjauan inflasi asas semasa kami memanfaatkan kesederhanaan berterusan dalam kos pengeluaran dalam kalangan firma kerana harga komoditi sederhana dan tekanan bekalan global telah pun berkurangan,” ujarnya.
AmBank Economic Research mengulangi pendirian Kadar Dasar Semalam (OPR) kekal pada kadar semasa pada 3.0 peratus sepanjang 2024 tanpa menolak kemungkinan tindakan monetari sekiranya pertumbuhan penggunaan swasta dan permintaan luar meningkat lebih tinggi daripada jangkaan.
Jelasnya, terdapat titik pencetus yang boleh mencondongkan penilaian kami ke bawah.
“Walau bagaimanapun, seperti sedia ada, kami bersemangat tentang jangka pendek ekonomi global dan domestik walaupun persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi untuk lebih lama,” ujarnya.-UTUSAN










