Bukan mudah berdakwah walaupun kepada kaum sendiri

Bukan mudah berdakwah walaupun kepada kaum sendiri

OOI CHOOI BENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
MENJALANKAN kerja-kerja dakwah di kawasan yang majoritinya dihuni penduduk bukan Islam bukanlah satu kerja mudah. Apatah lagi pendakwahnya sendiri terdiri daripada kalangan saudara baharu yang baru sahaja memeluk Islam.

Wartawan Utusan Malaysia, ISWAN SHAFIQ ISA baru-baru ini berkesempatan menemubual Presiden Persatuan Cina Muslim (Macma) cawangan Pulau Pinang, OOI CHOOI BENG atau lebih mesra disapa Bro Ben untuk mengetahui lebih lanjut mengenai dakwah yang dijalankan bersama persatuan tersebut.

Selain mengepalai Macma, Chooi Beng juga memegang jawatan sebagai Ketua Unit Mualaf di Ghulam Al-Dakwah.

 

PERANAN MACMA
Macma ialah Persatuan Cina Muslim yang ditubuhkan sejak 1994 dan di peringkat negeri, cawangan ini ditubuhkan secara berperingkat-peringkat. Saya tidak pasti tahun sebenar ia ditubuhkan di Pulau Pinang tapi saya adalah pengerusi yang keempat atau kelima dan setiap dua tahun, kami akan buat pemilihan atau AGM (mesyuarat agung tahunan).

Sebahagian besar daripada kami juga adalah sukarelawan. Maksudnya kita bukan sepenuh masa kerana kebanyakan ahli bekerja. Jadi, kita tidak boleh beri tumpuan 100 peratus kepada persatuan.

Dahulu, kewujudan Macma ini dianggap sebagai rasis sebab orang lihat kita seperti mengutamakan masyarakat Cina sahaja. Tapi, sebenarnya kita bukan rasis, kita utamakan kebajikan mualaf berbangsa Cina tapi kita tetap mengalu-alukan kehadiran bangsa lain sebagai ahli bersekutu. Kita buka (keahlian) kepada semua orang.

CABARAN SEBAR DAKWAH
Sebagai mualaf, saya sendiri melalui ujian yang sangat teruk (ketika mula memeluk Islam), namun, saya percaya bahawa kita semua akan diuji. Bagaimanapun, ujian untuk mualaf ini berat kerana Islam adalah agama yang baharu bagi kami. Saya tahu, tuan (penulis) lahir sebagai orang Islam pun ada ujian juga. Cuma ujian kami (mualaf) ini ialah banyak benda yang kami kena ubah.

Pertamanya ialah mindset (cara berfikir). Selama ini kita (sebelum memeluk Islam) anggap Islam itu sebagai terrorist (pengganas) juga. Tapi, apabila kita peluk Islam, baru kita tahu bahawa ia bukan (seperti yang difikirkan). Kita baca al-Quran dan kisah nabi-nabi terdahulu semua, dalam al-Quran tak pernah sebut pun (mengenai pengganas) itu semua salah tanggapan sahaja.

Tujuan kita (tubuhkan Macma) untuk jaga (kebajikan) ahli-ahli kita. Kemudian, kita juga buat program untuk kekalkan budaya kita (masyarakat Cina) yang tidak bercanggah dengan Islam.

Contoh macam sambutan Tahun Baharu Cina. Ada yang cakap tak boleh buatlah, haramlah. Tapi, kita tengok takat mana kita buat. Contoh, kalau masa perayaan itu kita pegang colok untuk sembah berhala memang tak bolehlah. Dalam hal ini, kita cuma berkumpul bersama untuk merapatkan ukhuwwah sesama Cina Muslim selain bersama saudara kita yang belum Islam untuk meraikan Tahun Baharu Cina.

Begitu juga dengan Festival Kuih Bulan. Kita hanya kumpul untuk makan kuih bulan yang halal. Sebab apa? Sebab kita adalah orang Cina. Masuk Islam macam mana pun kita tidak akan jadi orang Melayu. Senang cerita, kita perlu kekalkan budaya kita.

KERJA DAKWAH
Berdasarkan pengalaman sebagai pendakwah yang turun ke lapangan, sebenarnya, memang ramai dan masih banyak non-Muslim mempunyai salah tanggapan terhadap agama suci ini.

Apa yang saya lihat, mereka mengambil masa untuk terima cara kita (berdakwah). Itu pun bergantung kepada kaedah dan pendekatan yang digunakan. Sebab itu selalu saya katakan, kita sebagai pendakwah kena selalu turun ke lapangan.

Saya masih ingat apabila saya dan rakan-rakan turun untuk menjalankan dakwah jalanan di di Pulau Pinang. Tiba-tiba ada seorang individu (bukan Islam) datang kepada kami dan cakap bukan nak cari gaduh. Dia cuma mahu tahu apa yang sedang kami buat waktu itu. Jadi, apabila saya cakap kami cuma mahu sampaikan mesej Islam sebab ada banyak salah tanggapan, dia cakap tak adil sebab agama dia tak boleh pula buat macam itu. Walaupun perkara itu (menyebarkan agama selain Islam secara terbuka) ada dinyatakan dalam undang-undang Malaysia, tapi saya faham bahawa dia tidak benarkan saya buat hebahan tentang Islam di situ dan saya akur.

KENANGAN MANIS
Ada seorang makcik ini, orang Alor Setar (Kedah). Dia non-Muslim tapi anaknya masuk Islam. Dia selalu halang anak buat ibadah di rumah seperti solat dan lain-lain. Suatu hari, kami ada anjurkan program dan kita jemput anak dia datang bawa makcik ini sekali. Jadi, apabila makcik ini datang dan dia tengok ada YB (wakil rakyat) dan semua orang Cina sahaja (disangkanya bukan Islam), dia seronok. Tapi, apabila program itu habis dan kita buat perkongsian tentang Islam, dia terkejut.

Kita cuba dekati dia perlahan-lahan. Nak buat dakwah ini kena ada teknik. Kita takkan buat dulu sampai dia tanya (tentang Islam). Maksudnya, ‘tiada permintaan, tiada bekalan atau pemberian’. Tapi, dalam perjalanan balik ke Alor Setar (selepas program) dia banyak bertanya kepada anaknya (tentang Islam) dan alhamdulillah, anak dia mampu jawab semua persoalan tersebut. Makcik ini terbuka hati untuk benarkan anaknya beribadah di rumah. Ini antara berita yang kami tunggu-tunggu. Kalau 10 orang (bukan Islam) datang kepada kami dan hanya satu daripada mereka membawa berita positif pun sudah cukup bagi kami.

MASA DEPAN MACMA PULAU PINANG
Kita sudah ada lebih 100 ahli tidak termasuk ahli bersekutu. Tapi ahli bersekutu ini tidak ramai. Antara 10 hingga ke 20 orang sahaja. Ada juga ura-ura yang meminta kita tubuhkan koperasi (bagi membantu ahli menjana pendapatan) tapi ia bukan perkara yang senang kerana kebanyakan kami adalah ahli sukarela termasuk saya.

Buat masa ini, kami memang tak ada pejabat khusus tapi MAINPP (Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang) hadiahkan sebuah pejabat bagi memudahkan operasi iaitu sebuah surau yang tidak lagi diduduki. Tempat itu memang strategik tapi kita tak dapat duduki lagi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Untuk pengetahuan, ketika ini jika ada kelas atau apa-apa yang berkaitan, kita akan buat di sebuah rumah yang disewa di Minden Heights (George Town).

Lagi satu, memandangkan hampir semua kami (ahli Macma Pulau Pinang) adalah sukarelawan, maka, kita tidak ada resources (sumber dana) sendiri. Saya fikir, jika ada pekerja sepenuh masa, mungkin kami boleh bergerak dengan lebih baik selepas ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×