Tindakan kecil, tetapi maksudnya besar

Tindakan kecil, tetapi maksudnya besar

TIDAK hanya memberi ruang kepada penjawat dan pesara kerajaan untuk meraikan Aidilfitri dengan Bantuan Khas Kewangan (BKK), Anwar Ibrahim juga bertanya khabar dan mendengar sendiri keluhan serta keresahan rakyat, termasuk peniaga di Kangar, Perlis.-FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU lima hari bulan April berlalu tetapi sudah ada beberapa pengumuman dan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang walaupun mungkin dianggap kecil bagi sesetengah orang tetapi ia membawa maksud besar bagi ramai yang lain.

Pada 1 April, sewaktu berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri, Anwar mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah. Selain itu, BKK Aidilfitri sebanyak RM250 juga diberikan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.

Semua bantuan ini akan disalurkan mulai 5 April (hari ini) sekali gus memberi ruang untuk penjawat awam dan pesara kerajaan membuat persediaan untuk menyambut Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada 10 April sekali gus melonjakkan moral mereka kerana merasa dihargai.

Bantuan ini diberi walaupun semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak sebelum ini sudah menerima bayaran insentif awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebanyak RM2,000 yang disalurkan pada 23 Februari lalu.

Walaupun jumlahnya tidak banyak tetapi ia memberi kelegaan khususnya kepada umat Islam yang menyambut Aidilfitri. Lebih penting ia menjadi petanda bahawa Anwar memahami kesukaran yang dihadapi oleh penjawat awam dan pesara kerajaan.

Seperti yang dijelaskan Anwar, apabila beliau berjumpa penjawat awam, ada dalam kalangan mereka yang mengadu sudah membelanjakan bayaran insentif awal SSPA kerana kos sara hidup yang sedikit meningkat dan sesi persekolahan yang baru bermula.

Sebelum ini Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, membuat gesaan supaya kerajaan memberikan BKK Aidilfitri bagi menambah kuasa membeli penjawat awam dan pesara kerajaan selain mewujudkan pusingan ekonomi kepada peniaga.

Adnan menyifatkan pemberian BKK Aidilfitri ini memberikan kelegaan kepada semua penjawat awam dan menunjukkan kepimpinan Anwar yang sentiasa terbuka mendengar pandangan serta berharap penjawat awam akan memberikan komitmen penuh dalam menyampaikan khidmat bakti.

Pada 2 April pula, dalam ucapan beliau di Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan, Anwar mengumumkan beliau mengambil keputusan untuk tidak mengadakan majlis besar-besaran di Seri Perdana bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini.

Sebaliknya, menyarankan semua umat Islam untuk bersederhana dalam sambutan Aidilfitri dengan beliau sendiri berhasrat untuk ikut serta dalam majlis-majlis yang lebih kecil di beberapa negeri atau anjuran kementerian untuk terus mendekati serta mendengar kritikan atau pandangan rakyat seluruh negara terkait pelbagai isu.

Sekali lagi, pengumuman ini mungkin dianggap tidak signifikan bagi sesetengah orang tetapi bagi ramai yang lain ia adalah satu perkara yang besar. Ia menggambarkan kerajaan Madani ini anti pembaziran dan kemewahan serta tekad ke arah penjimatan.

Lebih penting lagi, rumah terbuka di peringkat negeri ini memberikan ruang luas untuk Anwar dan para pemimpin kerajaan lain menyantuni lebih ramai rakyat selain menyediakan peluang ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha hotel dan penyedia pengangkutan.

Seterusnya, pada 3 April, Anwar pada mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan semua menteri supaya turun padang untuk melihat sendiri keadaan semasa, termasuk isu berkaitan harga dan kuantiti barang keperluan di pasaran menjelang sambutan Aidilfitri.

Selain itu, pada 1 April juga Anwar mengadakan sesi lawatan ringkas ke Perlis, sebuah negeri kecil yang dikuasai oleh parti pembangkang, Pas. Di sana Anwar membincangkan mengenai pembangunan negeri Perlis bersama-sama menteri besar, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, mufti, ketua jabatan serta agensi kerajaan pusat dan negeri yang terlibat.

Perbincangan itu menyentuh pelbagai isu dan keperluan pembangunan di Perlis antaranya projek Dataran Kuala Perlis, Pasar Pelancongan Kuala Perlis, pembinaan jalan bagi menghubungkan Jalan Pesisiran Pantai (R152) ke Kuala Sanglang serta penyelenggaraan gerai dan kiosk di seluruh negeri itu.

Apabila menteri besar Perlis membangkitkan permohonan peruntukan tambahan bagi Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian, Anwar segera meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM14 juta bagi projek ini untuk menyelesaikan segera isu kesesakan di pintu masuk negara.

TIADA DISKRIMINASI
Sekali lagi, ini adalah petunjuk jelas bahawa Anwar tidak pernah mendiskriminasikan negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang asal sahaja pemimpin kerajaan negeri tersebut tidak menunjukkan sikap permusuhan, sedia berunding dan berdiplomasi dengan baik.

Malah, sewaktu berucap dalam majlis berbuka puasa bersama warga Felda Chuping di Majlis Berbuka Puasa Madani di pekarangan Masjid Nurul Huda, Anwar menyatakan keterbukaan untuk terus berbincang dan membantu Kerajaan Perlis meskipun negeri ini dinakhodai pimpinan daripada parti berbeza bagi membela nasib rakyat dan mengangkat martabat negeri dan negara.

Selain menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Kangar bagi bertukar pandangan terkait hal ehwal kesejahteraan hidup rakyat dan pembangunan di Perlis yang memerlukan tumpuan khusus Kerajaan Persekutuan.

Anwar juga sempat singgah ke Bazar Ramadan Persiaran Wawasan di Kangar untuk bertanya khabar dan mendengar sendiri keluhan serta keresahan rakyat, termasuk peniaga di sana, sehingga tular satu video menunjukkan kesediaan Anwar mendengar rintihan seorang peniaga wanita.

Sesungguhnya semua ini adalah bukti keprihatinan kerajaan Madani kepada nasib rakyat jelata. – UTUSAN

MOHAMMAD Jabbar Tariq Alizul Pakar ialah Pegawai Tadbir di Institut Kajian Strategik & Komuniti (IKSK), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×