Pertubuhan Ar Rasyid agih sumbangan infaq RM98,300

Pertubuhan Ar Rasyid agih sumbangan infaq RM98,300

LEBIH 100 anak yatim yang tidak tinggal di pusat perlindungan atau rumah kebajikan diraikan dalam majlis berbuka puasa oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebanyak RM98,300 wang infaq yang disumbang oleh orang awam diagihkan kepada lebih 1,200 asnaf, fakir miskin, anak yatim, pelajar tahfiz dan gelandangan sepanjang Ramadan ini.

Wang tersebut dikumpulkan oleh Pertubuhan Amal Kebajikan Ar Rasyid sejak sebelum Ramadan yang diserahkan lebih 3,000 penyumbang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO), Mohd. Khairul­nizam Abd. Ghani, antara bentuk sumbangan diberikan kepada penerima adalah pek makanan untuk berbuka puasa yang diagihkan pada setiap petang.

“Dipelbagaikan lagi sumbangan pada tahun ini seperti bantuan ‘Kotak Kasih Ramadan’ kepada pelajar-pelajar asnaf seperti di Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang dan Sekolah Menengah Agama Tinggi Tengku Ampuan Rahimah.

“Sumbangan diterima setiap hari dan kita mulakan kutipan sebelum Ramadan untuk memastikan agihan dapat diberikan setiap hari selama umat Islam berpuasa. Selain wang tunai, ada juga penyumbang mengagihkan sendiri makanan ke pusat tahfiz kami,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, sumbangan tersebut turut diberikan kepada golongan mualaf serta seluruh umat Islam dekat kawasan setempat khususnya Sungai Udang, di sini untuk meraikan kemeriahan Ramadan.

Dalam pada itu, Mohd. Khairulnizam memaklumkan, Pertubuhan Amal Kebajikan Ar-Rasyid turut mempunyai program khusus meraikan anak-anak yatim pada bulan Ramadan yang baru diadakan pada Sabtu lalu.

“Alhamdulillah kita buat program tersebut secara tahunan dan kita jemput anak-anak yatim lebih-lebih lagi mereka yang bukan tinggal di pusat perlindungan atau rumah kebajikan datang ke Madrasah Tahfiz Al Quran Ar Rasyid.

“Lebih 100 yang dapat hadir dari kawasan berhampiran seperti dari Kampung Sungai Udang, Teluk Gadong dan Kampung Delek untuk kita serahkan sumbangan tunai selain berbuka puasa dan solat tarawih bersama-sama mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, orang ramai yang ingin menghulur bantuan sempena Aidilfitri, boleh meng­hubungi pertubuhan itu di talian 010-2402885.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×