UMNO dilanda 'sindrom bisu', takut bersuara masalah rakyat - Tajuddin - Utusan Malaysia

UMNO dilanda ‘sindrom bisu’, takut bersuara masalah rakyat – Tajuddin

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyifatkat UMNO kini dilanda ‘sindrom bisu’ apabila para pemimpinnya tidak berani bersuara berhubung masalah rakyat dan isu-isu melibatkan orang Melayu.

Menurut beliau, UMNO membisu tanpa sebarang kenyataan, ulasan, pandangan atau pun teguran berhubung masalah yang dihadapi rakyat terutama isu kos sara hidup.

Menurutnya, jika ada pun, suara UMNO hanya ibarat ‘mercun’ atau ‘meriam katak’, tidak selantang dahulu.

“Ada sindrom bisu dalam UMNO. Tidak berani komen, tak berani nak beri pandangan, tak berani nak tegur. Ini yang saya lihat daripada atas hingga ke bawah, UMNO tak berani nak bercakap.

“Apa permasalahan rakyat yang patut diambil tahu, diambil perhatian?. Isu sara hidup, masalah ekonomi rakyat tapi mana ada suara UMNO, kenapa? Kenapa takut bersuara? (Adakah) Takut dengan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan atau takut dengan Perdana Menteri?

“Saya rasa Perdana Menteri tidak akan marah kalau sekiranya suara-suara itu adalah suara-suara yang membina, yang konstruktif, bukan suara mengutuk.

“Perdana Menteri seorang yang terbuka, boleh bercakap apa sahaja tapi perlu bertanggungjawab atas apa yang diperkatakan. Jangan merapu tak tentu hala,” katanya kepada pemberita dalam program Iftar Perdana bersama Media Perak di Taj International College (TIC) di sini semalam.

Menurutnya, selain daripada Perdana Menteri, UMNO yang sepatutnya memperjuangan nasib Melayu, yang menjadi asas perjuangan parti itu sejak dahulu.

“Tak terpikullah kalau Anwar seorang untuk membela nasib orang Melayu. UMNO lah sepatutnya yang membela nasib orang Melayu kerana itulah perjuangan UMNO daripada dulu,” katanya.

Sementara itu, Tajuddin yang digantung keahlian parti selama enam tahun berkata, beliau tidak menghilangkan diri dan masih aktif dengan masyarakat.

“Saya masih aktif dan banyak program kebajikan masyarakat, kebajikan penduduk di pelbagai lapisan daripada anak yatim, asnaf ataupun ibu tunggal, fakir miskin dan orang susah.

“Saya masih berjawatan yang berhormat YB tapi bukan ‘Yang Berhormat, tetapi ‘yang berkhidmat’. Program kebajikan saya tidak bergantung kepada sumber kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×