Ibu tunggal gembira sambut Syawal di rumah baharu

Ibu tunggal gembira sambut Syawal di rumah baharu

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli beramah mesra dengan Zaleha Abdullah selepas Majlis Penyampaian Kunci Rumah Ru’RASA di Kampung Jeram Landak, Mukim Cheka2. Lipis, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Zaleha Abdullah, 56, dari Kampung Jeram Landak, Mukim Cheka 2 di sini me­ngakui terharu kerana hasrat untuk beraya di kediaman baharu tercapai.

Menurutnya, lebih bermakna lagi apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ber­kenan menyampaikan sendiri kunci rumah berkenaan, baru-baru ini.

Zaleha berkata, sejak kematian suami, Saparudin Mat Yusop pada 2014, dia bersama anak tunggalnya, Mohamad Haikal Hakimi, 18, hanya menumpang di rumah ibunya di Kampung Jeram Landak di sini.

“Sebelum ini kami sekeluarga menetap di Kuala Selangor, namun selepas suami meninggal dunia, saya pulang ke Lipis pada 2016 dan menumpang di rumah ibu.

“Selama lapan tahun bersama anak menumpang di rumah emak dan akhirnya impian untuk memiliki rumah sendiri tercapai.

“Saya sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT dan gembira menerima rumah Ru’RASA ini terutama sekali pada bulan Ramadan dan tidak lama lagi Syawal,” katanya.

Dia turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Al-Sultan Abdullah di atas keprihatinan baginda mengurniakan Rumah Ru’RASA yang selesa.

“Saya tidak sangka dapat rezeki memiliki rumah sendiri yang diberikan secara percuma pula. Lebih menggembirakan kerana ia dilengkapi perabot.

“Terima kasih banyak-banyak kepada Tuanku kerana memberikan rumah ini dengan serba lengkap, mudah-mudahan Tuanku dirahmati, alhamdulillah dapat beraya di rumah baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×