PETALING JAYA: Seorang penjawat awam berusia 57 tahun, terselamat daripada menjadi mangsa penipuan kewangan (scammer) membabitkan jumlah RM150,000.
Dalam kejadian tersebut, penjawat awam berstatus kontrak itu dikenali sebagai Fatimah, telah diminta oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan, mengeluarkan wang sebanyak RM150,000 daripada akaunnya di Cawangan Maybank Kampung Baru, Pulau Pinang.
Maybank dalam satu kenyataan memberitahu, dalam panggilan lebih empat jam, idividu terbabit juga telah meminta wanita berkenaan supaya menipu pihak Bank dengan mengatakan tujuan dia mengeluarkan wang adalah untuk ubahsuai rumah.
Bagaimanapun, wanita berkenaan bernasib baik apabila Penolong Pengurus Cawangan Maybank Kampung Baru yang menyedarinya menjadi mangsa tipu telah membekukan akaunnya.
“Maybank telah berjaya melindungi pelanggan daripada kerugian RM6.4 juta akibat penipuan kewangan melalui saluran cawangannya pada tahun 2023,” katanya.
Maybank menegaskan, menjaga dan menjamin keselamatan kewangan para pelanggan adalah keutamaannya.
“Maybank memberi penekanan yang tinggi terhadap kepentingan kesedaran penipuan dan sangat komited dalam memperkukuh langkah dan inisiatif melawan penipuan, agar terus berada satu langkah di hadapan ancaman ini untuk menjaga kepercayaan dan keselamatan pelanggannya,” katanya.
Bagi mempertahankan diri daripada penipuan, Maybank menggalakkan pelanggannya untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi amalan berikut:
* Berhati-hati dengan panggilan dan/atau mesej daripada orang yang tidak dikenali yang mendakwa mereka daripada pihak berkuasa, bank, penyedia utiliti dan agensi penguatkuasaan/kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Bank Negara Malaysia atau Lembaga Hasil Dalam Negeri.
* Jangan sekali-kali mendedahkan butiran perbankan anda. Pelanggan diingatkan bahawa bank dan pihak berkuasa tidak akan meminta butiran perbankan anda melalui telefon.
* Jangan pindahkan dana ke akaun yang tidak diketahui. Pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan tidak akan menuntut pemindahan dana segera ke akaun pihak ketiga yang tidak diketahui.
Sekiranya pelanggan mengesyaki bahawa mereka telah ditipu, mereka harus segera menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan di 997 atau talian 24/7 Hotline Fraud Maybank di 03-5891 4744 untuk bantuan.
Untuk belajar mengenali taktik penipuan terkini, orang ramai turut digalakkan melayar laman web Maybank Security Tips di maybank.my/SecurityAwareness dan Pusat Anti-Scam Kebangsaan di www.jangankenascam.com. – UTUSAN










