BALIK PULAU : Seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan polis daerah Barat Daya di sini kerana disyaki menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek ditahan di daerah ini semalam susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa sebelum itu.
“Berdasarkan laporan, mangsa dikatakan telah meminjam wang daripada suspek sebanyak RM45,000 dan sejak 2019 hingga 2021 yang lalu, mangsa cuma membayar ‘bunga’ sahaja kepada suspek iaitu sebanyak RM90,500.
“Mengikut perjanjian, mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak 10 peratus daripada jumlah pinjaman dalam tempoh sebulan, namun, suspek meminta mangsa membayar lagi RM45,000 dan mangsa sudah tidak mampu lalu terus membuat laporan polis,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya menahan seorang pelajar tingkatan tiga kerana dipercayai terlibat dalam kes curi motosikal di sekitar Teluk Kumbar dan Bayan Lepas, di sini.
“Remaja lelaki berusia 15 tahun itu ditahan semalam selepas polis menerima laporan berhubung tiga kejadian kes curi motosikal.
“Hasil soal siasat, remaja itu kemudiannya mengaku terlibat dalam tiga kes curi motosikal dan polis berjaya merampas semula dua buah motosikal jenis Y15ZR dan sebuah motosikal Yamaha Ego Avantiz,” katanya.
Beliau berkata, remaja itu kini direman bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.-UTUSAN










