PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyifatkan beberapa dakwaan dalam ‘surat layang’ seperti yang tular di laman media sosial dan turut diemel kepada pengamal media adalah tohmahan dan menyerang peribadi.
Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, dakwaan isu rasuah dan salah guna kuasa presiden serta setiausaha agung datang daripada seorang individu ataupun lebih yang memiliki rasa tidak puas hati dengan kepemimpinan tertinggi badan induk itu.
“Segala apa yang dinyatakan oleh penulis surat layang ini adalah bersifat fitnah dan tohmahan semata-mata. Tetapi saya dan EXCO tidak defensif dengan ini (dakwaan) semua, cuma ia lebih kepada serangan peribadi.
“Semua perkara membabitkan kewangan di FAM mengikut Statut FAM serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan iaitu perlu menerusi Jawatankuasa Tetap masing-masing, seterusnya dibawa ke Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM.
“Selepas itu, barulah ia dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk diluluskan,” katanya pada sidang media, kelmarin.
Tambah Hamidin, badan induk itu sedia disiasat selepas mereka akan menghantar laporan berhubung perkara berkenaan kepada Jawatankuasa Integriti FAM selaku badan bebas yang dipengerusikan Tan Sri Dr. Aseh Che Mat.
“Jawatankuasa itu turut dibarisi antaranya wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dinilai dan diperhalusi.
“FAM sentiasa bersikap terbuka untuk disiasat dan akan memberikan sepenuh kerjasama dalam memberikan maklumat mengenai dakwaan-dakwaan yang dinyatakan dalam surat layang terbabit,” jelasnya. – UTUSAN










