SAUDARA PENGARANG,
SETELAH hampir sebulan berteka-teki, persoalan mengenai kesediaan Malaysia menerima tanggungjawab menjadi negara penganjur Sukan Komanwel 2026 terjawab dengan pengumuman Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bahawa Malaysia telah menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF).
Keputusan itu dibuat setelah meneliti pandangan pelbagai pihak terkait selain menimbang tara impak yang mungkin dijana oleh penganjuran Sukan Komanwel dari sudut jangka masa pendek mahupun panjang. Di kala ada peminat dan pemerhati sukan mungkin sedikit kecewa dengan keputusan terbabit, harus diakui ia adalah keputusan yang terbaik untuk semua pihak pada masa ini.
Tawaran penganjuran kali ini tidak sama dengan Temasya 1998 yang lepas. Paling ketara, Malaysia hanya ditawarkan peluang penganjuran setelah bandar Victoria, Australia menarik diri daripada penganjuran.
Keputusan mengejut Victoria itu dibuat atas alasan peningkatan kos penganjuran daripada jangkaan awal AUD2.6 billion (lebih kurang RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (lebih kurang RM21.78 bilion). Victoria malah setuju membayar pampasan AUD380 juta (RM1.8 bilion) kepada CGF atas pembatalan kontrak sambil menyifatkan ia mudarat (kos) yang lebih kecil.
Secara umumnya, semua pihak bersetuju bahawa tawaran itu bersifat tergesa-gesa dengan tinggal sekitar dua tahun sebelum kejohanan. Tidak kurang yang merasakan bahawa tawaran 100 juta pound itu tidak mencukupi untuk persiapan yang menyeluruh.
Sekali imbas, seolahnya keputusan menolak penganjuran Sukan Komanwel 2026 ialah suatu kerugian buat Malaysia. Namun, perkara ini tidak boleh dilihat dari perspektif sukan semata-mata.
Seperti disebut Menteri Belia dan Sukan sendiri, kita tidak punya cukup masa untuk menimbang apakah pulangan yang dapat dijana oleh penganjuran temasya mega ini.
Dari aspek pengurusan temasya, kita enggan Malaysia berakhir seperti mana penganjur edisi sebelumnya, Birmingham. Ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Majlis Bandaran Birmingham pada September 2023 bahawa mereka secara rasminya telah muflis kerana menanggung hutang yang sebahagian besarnya disumbang oleh keputusan mengutamakan Komanwel 2022. Dengan Birmingham yang sudah muflis, apa nasib rakyatnya?
Umum mengetahui Malaysia masih berdepan cabaran kenaikan harga barangan dan kos sara hidup. Adakah wajar diambil pula satu bahagian daripada peruntukan belanjawan negara untuk kesiapsiagaan Komanwel?
Pesuruhjaya Sukan, Suhardi Alias percaya adalah lebih baik bajet temasya itu dibelanjakan bagi meningkatkan pembangunan atlet dan ekosistem sukan negara dengan pengagihan kepada semua 103 persatuan sukan kebangsaan dan persatuan sukan paralimpik kebangsaan.
Ini dirasakan sebagai pelaburan jangka panjang yang lebih berbaloi dan bersifat holistik berbanding pengkhususan kewangan hanya untuk satu temasya.
Faktor-faktor ini pastinya telah dipertimbangkan oleh kerajaan dalam membuat keputusan muktamad untuk menolak tawaran penganjuran. Walaupun ia kelihatan seperti sebuah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan, sikap tegas kerajaan dalam membuat keputusan sebegini menggambarkan kematangan dan sifat berhemah dengan mengutamakan perbelanjaan yang lebih utama. Keputusan ini tidak seharusnya dibaca dengan nada pesimis sebaliknya ia perlu dilihat dalam konteks lebih luas dalam pembinaan negara mengikut acuan Malaysia Madani.-UTUSAN
DR. AHMAD FAWWAZ MOHD NASARUDIN, PUTRI MARDHIYAH MUNATUL AHMAD MIZANUDIN DAN SOFEA MARISA AFZAINIZAM
Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (USIM)










