Kementerian Kerja Raya jalin kerjasama tangani isu jalan rosak

Kementerian Kerja Raya jalin kerjasama tangani isu jalan rosak

KEADAAN jalan yang berlubang dan rosak memberikan kesukaran untuk penduduk melakukan urusan harian mereka di Kampung But, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROSMIZAN RESDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) menggerakkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Malaysia. 

Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, libat urus tersebut diadakan semalam yang diketuai Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook serta Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu. 

Menurut KKR, penglibatan tiga kementerian itu berikutan bidang kuasa berhubung jalan dan penguatkuasaan yang terletak di bawah kementerian masing-masing adalah saling berhubung kait dan memerlukan sinergi yang padu dalam mengatasi isu keselamatan jalan. 

“Sesi libat urus tersebut telah membincangkan jalinan kerjasama rentas kementerian dalam mencari mekanisme terbaik menangani isu kerosakan jalan raya yang terkait di bawah bidang kuasa kementerian masing-masing. 

“Mekanisma ini akan diperhalusi sebelum tindakan strategik dilaksanakan di bawah payung Program MYJalan,” kata kenyataan itu. 

Pada masa sama, KKR berkata, libat urus semalam turut membincangkan pengukuhan kerjasama antara kementerian bagi menyelesaikan aduan kerosakan jalan raya yang diterima melalui aplikasi MYJalan.

Katanya, ia demi memastikan keselesaan dan keselamatan pemanduan rakyat.

“Hasil perbincangan di antara KKR, MOT dan KPKT ini turut terarah kepada cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa bertindak yang terdiri daripada semua wakil pemilik jalan raya yang akan melaporkan status tindakan penyelesaian bagi aduan secara berkala.

“Jawatankuasa ini juga akan memperhalusi setiap cadangan, isu dan cabaran yang telah dibentangkan oleh wakil setiap kementerian dan agensi pada sesi kolaborasi ini,” kata kenyataan itu. 

Jelas kenyataan itu, sinergi pelbagai pihak tersebut membuktikan KKR terus komited dalam memperkasakan dan merakyatkan Program MYJalan sebagai satu agenda bersama di peringkat nasional. 

“Isu penyelenggaraan jalan akan terus menjadi fokus KKR dalam mengurus infrastruktur awam negara kerana impaknya bukan sahaja dari segi aspek kewangan negara tetapi yang lebih utama adalah nyawa pengguna,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×