PUTRAJAYA: Kerajaan akan memantau lebih dekat setiap agensi penguatkuasaan bagi mengelak daripada terus terpalit isu kecurangan melibatkan isu ketirisan, rasuah dan salah laku dalam kalangan penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui masih ada segelintir penguat kuasa dikesan masih mengamalkan amalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Ini peringatan kepada badan penguatkuasaan bukan sahaja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan kita sedang pantau dari dekat.
“Saya harap sangat supaya kita dapat elakkan laporan-laporan kecurangan (ketirisan) ini, kerana majoriti itu memang hasrat untuk buat kebaikan tapi kadang-kadang hidup dalam budaya sakau, jadi dia (penguat kuasa) pun terpaksa ambil.
“Saya harap sangat kita dapat mengelakkan laporan kecurangan ini kerana majoriti (penjawat awam) berhasrat (dan menginginkan) kebaikan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menghargai tindakan pantas diambil Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin melalui tindakan serius terhadap mereka yang terlibat dalam isu rasuah.
“Saya ucap tahniah kepada Ketua Pengarah Kastam sebab dia tidak melihat dari segi negatif tetapi terus ambil tindakan, tukar, ambil tindakan disiplin dan sebagainya.
“Jadi jangan biarkan sekelumit ini mencacatkan imej perkhidmatan awam, kalau ada tindakan seperti dilakukan Ketua Pengarah Kastam, saya ucap tahniah,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, jumlah ketirisan akibat kegiatan sindiket penyeludupan membabitkan beberapa anggota kastam di Kargo KLIA mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun lalu.
Katanya, setakat ini seramai 34 anggota penguat kuasa dan 27 individu serta pemilik syarikat ditahan menerusi Ops Samba 2.0 kerana melindungi dan memudahkan aktiviti penyeludupan sindiket itu.
Anggota dan pegawai penguat kuasa berusia 30 hingga 50 ditahan dipercayai menerima wang rasuah lebih RM4.7 juta daripada sindiket bagi memudahkan kegiatan penyeludupan tembakau kunyah, rokok, arak, produk kesihatan dan alat ganti kenderaan. – UTUSAN










