PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan FGV Holdings Berhad (FGV) menganjurkan program berbuka puasa melibatkan murid tahun satu dan dua bagi menghargai usaha mereka untuk berpuasa.
Program dikenali sebagai ‘Iftar Si Burung Kecil’ bertujuan memberikan pengiktirafan kepada kanak-kanak yang sudah berlatih untuk berpuasa di mana ia merupakan amalan dan tuntutan ibadah seorang Muslim.
“Walaupun anak-anak kecil ini belum lagi diwajibkan berpuasa, namun kegigihan mereka selaku “si burung kecil” untuk belajar berpuasa harus dihargai,” katanya dalam kenyataan bersama.
Katanya, penganjuran program ini turut diadakan bagi menyantuni dan tanda terima kasih kepada para pengamal media yang telah banyak membantu KPM dalam menyampaikan dasar-dasar Kerajaan.
“Justeru, sesi Ramah Mesra ini adalah salah satu cara untuk mendekati para pengamal media dan mengeratkan hubungan antara pihak media dan KPM,” jelasnya.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, dan Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.-UTUSAN










