KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyambut baik kemasukan tiga akhbar utama di negara ini termasuk Utusan Malaysia bagi membantu meningkatkan pengukuhan bahasa Melayu di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, media banyak memainkan peranan dalam menyampaikan perkara-perkara yang sangat bermanfaat dan kecerdasan kepada rakyat.
Kata beliau, kementeriannya sangat menyokong apabila tiga akhbar utama itu dibawa masuk ke sekolah-sekolah.
“Akhbar ini dibawa masuk untuk disebarkan serta memperluas peranannya dalam mengukuhkan penggunaan bahasa Melayu.
“Selain itu, ia memastikan bahawa ruang dan disiplin membaca akhbar ini dipertingkatkan semula dalam ruangan di sekolah-sekolah,” katanya semasa Majlis Iftar Si Burung Kecil dan Ramah Mesra bersama-sama pengamal media di Dewan Kompleks Seri Bintang, di sini, hari ini.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Nik Nasarudin Mohd. Zawawi; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Zainal Abas, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Dairy Industries Sdn. Bhd., Datuk Iszhar Ibrahim dan Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.
Dalam pada itu, Fadhlina mengajak bersama-sama meningkatkan amalan di sepuluh terakhir di bulan Ramadan.
“Banyak iktibar yang perlu kita ambil. Jaga tutur kata dan akhlak serta jangan sebarkan fitnah. Ini semua adalah pesanan yang perlu diingatkan,” katanya. – UTUSAN










